Sebagai buktinya Ahmad Zahid berkata, mengikut data terkini sebanyak 51.4 peratus kawasan masih dilitupi hutan dan jumlah itu termasuk kawasan penanaman semula ­spe­sies-spesies tumbuhan ya­ng hampir pupus di negara ini.

“Negara kita sering dituduh oleh masyarakat antarabangsa terutamanya EU kononnya kita menebang habis hutan dan dituduh sebagai punca berlakunya perubahan iklim serta pemanasan global.

“Sedangkan negara-negara yang menuduh kita lebih awal menggondolkan hutan dan bila berlakunya pemanasan global, mereka menuding jari dan meletakkan kesalahan tersebut kepada negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan anak syarikat Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), FRIM Incorporated (FRIM Inc.) di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Azizan Ahmad dan Ketua Pengarah FRIM, Datuk Dr. Abd. Latif Mohmod.

Terdahulu dalam majlis tersebut, Azizan mengumumkan spesies tumbuhan bukit batu kapur yang dinamakan sempena Ahmad Zahid iaitu Gymnostachyum ahmadzahidianum, manakala Impatiens feonajunaidiana pula dinamakan sempena nama Wan Junaidi.

Kesatuan Eropah baru-baru ini mengusulkan satu resolusi untuk menghalang penggunaan bahan api bio berasaskan sawit kerana pembangunan tanaman itu dikatakan dilakukan secara tidak mampan dan mencemarkan alam sekitar.

Dalam pada itu Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri mengingatkan FRIM Inc. agar memberi tumpuan kepada perniagaan teras ber­asaskan kepada hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta mengembangkan hasil produk ke luar negara.

Ahmad Zahid berkata, ini kerana beliau tidak mahu FRIM Inc. kehilangan fokus seperti organisasi lain yang memberikan tumpuan kepada pembeli­an aset termasuk di luar negara bagi tujuan mengembangkan perniagaan.