Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, para penumpang dan krew yang berada dalam pesawat itu tetap berada dalam doa dan di hati seluruh rakyat Malaysia.

Malah, bagi menghormati mereka, kata Najib, kerajaan komited mendesak komuniti penerbangan global supaya mengambil pendekatan bersesuaian bagi menjadikan laluan udara lebih selamat selain memastikan kejadian yang menimpa MH370 tidak berulang lagi.

“Empat tahun sudah berlalu sejak tragedi kehilangan MH370 tetapi para penumpang dan krew yang berada dalam pesawat itu tetap dalam doa dan di hati kita,” katanya dalam status Facebook di sini, hari ini.

Pesawat MH370 hilang sejak 8 Mac 2014 ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing membawa 298 penumpang dan siasatan mendapati pesawat itu berakhir di dasar Lautan Hindi.

Kerajaan pada 10 Januari lalu, memeterai perjanjian dengan syarikat penerokaan dasar laut yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Ocean Infinity Ltd. untuk operasi baharu pencarian MH370.

Tumpuan kawasan pencarian di kawasan seluas 25,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi.