Ahli Majlis Persatuan ICT Kebangsaan Malaysia (Pikom), Alex Liew berkata, bukan Malaysia sahaja yang terjejas dengan kekurangan itu malah ia turut berlaku di peringkat global.

Ketika ini ujar beliau, tidak banyak institusi pendidikan yang menawarkan program-program atau kursus kepada generasi muda dalam bidang keselamatan siber.

“Kekurangan penawaran program ini menyebabkan negara ketandusan tenaga kerja dalam bidang berkenaan. Tanpa kepakaran mereka negara kita mudah terdedah kepada risiko serangan siber seperti Ransomware.

“Menyedari akan masalah ini, kami telah mengadakan beberapa perbincangan dengan institusi pendidikan awam dan swasta untuk memberi kesedaran akan kepentingan untuk melahirkan graduan dalam bidang keselamatan siber. Kami berharap perkara ini tidak dipandang ringan oleh masyarakat,” katanya pada majlis pelancaran Cybersecurity Chapter di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Pikom, Chin Chee Seong.

Chee Seong menjelaskan penubuhan Cybersecurity Chapter adalah untuk memberi maklum balas kepada permasalahan yang melibatkan isu-isu keselamatan siber.

Katanya, Cybersecurity Chapter merupakan sebahagian daripada Pikom yang dianggotai oleh pakar-pakar dan pengamal industri teknologi maklumat.

“Pikom memandang serius perkara ini dan penubuhan Cybersecurity Chapter bertujuan membantu meningkatkan lagi kesedaran masyarakat dan me­rubah rangka kerja keselamatan siber di Malaysia.

“Perancangan jangka pendek kami adalah untuk berbincang dengan kerajaan dan ahli-ahli akademik bagaimana untuk mempergiatkan pelbagai program kesedaran untuk masyarakat. Pikom berharap Cybersecurity Chapter dapat menyumbang kepada pertumbuhan industri teknologi maklumat dan ekonomi digital Malaysia pada masa depan,” ujarnya.