Dalam satu kenyataan, agensi itu melaporkan bahawa enam daripada 10 ibu negara paling kerap dikunjungi tahun lalu adalah di Asia iaitu Hong Kong dan Bangkok manakala Singapura, Macau, Kuala Lumpur dan Shenzen berada dalam kedudukan 10 teratas di peringkat global.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi menyambut baik pengumuman tersebut dan situasi ini menunjukkan bahawa negara berada di landasan yang betul bagi mencapai pertumbuhan industri pelancongan yang mapan.

“Kementerian berusaha untuk menarik lebih ramai pelancong ke negara ini dan seterusnya meningkatkan lagi skor di peringkat antarabangsa. Malah, kita juga mensasarkan untuk menarik 30 juta pengunjung dengan jumlah pendapatan RM100 bilion pada 2020.

“Pada tahun ini, kita mensasarkan sebanyak 26.4 juta pelancong dengan pendapatan sebanyak RM84.9 bilion iaitu sejajar dengan pengumuman Belanjawan 2019 yang dibentangkan baru-baru ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamaddin berkata, pihak kementerian akan terus mempergiatkan lagi usaha untuk mempromosikan Malaysia sebagai sebuah negara utama tumpuan pelancong di dunia dengan pelbagai tarikan.

“Contohnya seperti alam semula jadi, seni, budaya, kesihatan, makanan dan pelbagai produk inovasi. Ini kerana, industri pelancongan merupakan antara penyumbang utama kepada sektor perkhidmatan dengan sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 14.9 peratus atau RM201.4 bilion.

"Malah, industri pelancongan juga merupakan penyumbang ketiga terbesar dengan sumbangan bernilai RM73.3 bilion kepada Pendapatan Negara Kasar (GNI),” jelasnya.

Dalam pada itu, Mohamaddin berkata, sepanjang tahun ini, Industri Pelancongan negara menerima pelbagai pengiktirafan dunia antaranya seperti Anugerah Brand Laurete Best Brand 2017-2018 bagi kategori Kecemerlangan Jenama Negara iaitu Bandar Diraja Muar yang merupakan Bandar Pelancongan Paling Bersih di ASEAN selama lima tahun berturut-turut. - UTUSAN ONLINE