Duta Besar Malaysia ke Kazakhstan, Syed Mohamad Bakri Syed Abd. Rahman berkata, jumlah dagangan dari Januari sehingga Mei tahun ini adalah sebanyak AS$28.2 juta (RM118.4 juta) dan dijangka meningkat lebih tinggi berbanding tahun lalu.

Menurut beliau, keyakinan itu adalah berasaskan jumlah daga­ngan yang memberangsangkan pada tahun ini selain minat ditunjukkan syarikat-syarikat dari Kazakhstan untuk melabur menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai sempena Astana Ekspo 2017.

“Eksport utama Malaysia ke Kazakhstan termasuklah produk berasaskan minyak sawit, makanan diproses dan barangan elektrik sementara import utama adalah barangan besi keluli dan produk mineral,” katanya kepada pemberita pada Astana Ekspo 2017, di sini hari ini.

Ekspo yang berlangsung selama tiga bulan mulai 10 Jun lalu berakhir esok dan disertai 115 negara menjadi platform untuk negara-negara peserta mengadakan perbincangan berkaitan potensi perniagaan serta kepentingan teknologi hijau dan tenaga masa depan.

Mengulas lanjut, Syed Mohamad Bakri berkata, pada masa ini tidak banyak syarikat dari Kazakhtan yang melabur dalam jumlah yang besar justeru usaha sedang dilakukan untuk menarik pelaburan lebih besar ke Malaysia.

Lembaga Pembangunan Pela­buran Malaysia (MIDA) jelas beliau, menyediakan pelbagai insentif untuk menarik syarikat-syarikat Kazakhstan membuat pelaburan di Malaysia.

Beliau berkata, penyertaan Malaysia dalam ekspo tersebut adalah platform yang cukup baik untuk meningkatkan lagi hubu­ngan dengan pelabur dari Kazakhstan dan negara-negara lain.

Malaysia jelas beliau, mempunyai pelbagai kepakaran yang boleh dikongsi dengan komuniti perdagangan dan pelaburan antaranya dalam sektor tenaga hijau, pendidikan tinggi, perbankan Islam, pelancongan serta minyak dan gas.

“Potensi pelaburan amat besar, setakat ini 15 MoU telah ditandatangani sempena ekspo yang berlangsung selama tiga bulan melibatkan potensi pelaburan kira-kira AS$3 bilion (RM12.7 bilion).

“Selepas ekspo ini berakhir, kita perlu gerakkan langkah susulan untuk merealisasikan ke­se­mua MoU yang dimeterai itu,” katanya. – MINGGUAN