Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Malaysia jadi negara tua 2030?

Umur purata perkahwinan lelaki, wanita semakin meningkat

Warga emas menjadi penghuni Rumah Warisan Kaseh apabila mereka telah meningkat usia. – Gam bar hiasa 2
WARGA emas menjadi penghuni Rumah Warisan Kaseh apabila mereka telah meningkat usia. – GAMBAR HIASAN

MUKADIMAH: Keadaan membujang sehingga lanjut usia semakin membimbangkan apabila perangkaan daripada Laporan Penemuan Utama Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Kelima (KPKM-5) 2014 rangkaan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang dibuat oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) menunjukkan secara keseluruhan, sebanyak 86.8 peratus penduduk bujang di seluruh negara mempunyai hasrat untuk berkahwin namun masih lagi belum mendirikan rumah tangga.

Oleh yang demikian, kini terdapat kebanjiran medium yang digunakan oleh lelaki dan wanita yang tidak berkahwin untuk bertemu pasangan masing-masing termasuk menyertai laman jodoh di Facebook mahupun menyertai program bertemu jodoh yang semakin mendapat tempat agar mudah bertemu dengan pasangan hidup. Ikuti laporan wartawan Utusan Malaysia, FAZRINA AYU RADUIAN berhubung isu tersebut.

 

KUALA LUMPUR 3 Julai  -  Perbandingan purata umur perkahwinan sejak sedekad lalu terus meningkat berdasarkan dapatan terkini Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Kelima (KPKM-5) pada 2014 apabila lelaki dari 28.9 tahun pada 2004 kepada 29.3 tahun pada 2014 manakala dalam kalangan wanita pula, umur dari 25.3 tahun pada tahun 2004 kepada 26.2 tahun pada 2014.

Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Ke­luarga Negara (LPPKN), Datuk Dr. Siti Norlasiah Ismail berkata, banyak faktor yang men­dorong rak­yat Malaysia lambat berkahwin.

“Bagi lelaki, masalah kewangan merupakan penyebab utama mengapa mereka masih terus membujang dan lambat berkahwin.

“Hasil penemuan KPKM-5 men­dapati secara keseluruhannya, anggaran purata per­belanjaan perkahwinan yang mampu disediakan penduduk bujang hanyalah pada sekitar RM14,000, lebih rendah berbanding RM20,000 yang diperlukan sebagai perbelanjaan minimum bagi melangsungkan perkahwinan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Siti Norlasiah berkata, berlainan dengan lelaki bujang, sukar mencari pasangan yang sesuai adalah isu utama yang dihadapi wanita bujang.

“Ini didorong oleh peningkatan taraf pendidikan wanita dan sektor pekerjaan yang terus meningkat. Statistik Kementerian Pendidikan Malaysia menunjukkan pada tahun 2014, perempuan mendominasi enrolmen pelajar di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dengan 61.5 peratus pelajar perempuan berbanding 38.5 peratus pelajar lelaki selain mempelopori hampir kesemua bidang pengajian utama di IPTA.

“Selain itu juga, berdasarkan Jabatan Statistik Malaysia, kadar penyertaan buruh wanita me­ningkat dari 46.8 peratus pada tahun 2010 kepada 54.3 peratus pada 2016.

“Meskipun nisbah bilangan lelaki di Malaysia lebih tinggi berbanding perempuan dengan 106:100, jurang taraf pendidikan dan faktor kerjaya dikhuatiri menjadi punca utama mengapa wanita menghadapi kesukaran dalam mencari pasangan lelaki yang sesuai,” ujarnya.

Sementara itu, Siti Norlasiah berkata, kesan yang akan berlaku sekiranya perkahwinan dilewatkan adalah memendekkan tempoh umur reproduktif dan menyebabkan kadar kesuburan semakin menurun.

“Kadar kesuburan di negara ini diunjurkan akan terus menurun dan ini akan memberi implikasi kepada struktur umur penduduk di masa hadapan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga menegaskan, sekiranya trend berkahwin lambat berterusan maka Malaysia akan menjadi sebuah negara tua yang didiami sebilangan besar warga emas.

“Dari segi struktur demografi, penurunan kadar kesuburan dan pertambahan jangka hayat penduduk akan menyebabkan bila­ngan dan peratusan warga emas iaitu penduduk yang berumur 60 tahun ke atas semakin me­ningkat.

“Mengikut unjuran Jabatan Perangkaan Malaysia, negara akan menjadi negara tua pada tahun 2030 apabila 15 peratus penduduk terdiri daripada warga emas,” ujarnya.

Ketika ditanya mengenai trend masa kini yang mencari pasangan hidup menerusi laman sosial, beliau berpendapat ia tidak menjadi satu kesalahan namun perlu berhati-hati.

“Mencari jodoh melalui mana-mana kaedah sekalipun asalkan platform tersebut dikendalikan dengan mendapatkan profil dan personaliti sebenar calon tanpa sebarang penipuan dan perlindungan informasi profil diri masing-masing.

“Namun, apa yang perlu dititikberatkan oleh semua pasangan sama ada mereka telah cukup bersedia dari segi ilmu rumah tangga, peranan suami dan isteri serta faktor kewangan dalam membentuk sebuah keluarga.

“Walau di mana titik pertemuan seorang lelaki dan wanita lalu berakhir dengan perkahwinan bukanlah isunya, apa yang penting adalah kenali diri masing-masing sebelum mengambil keputusan untuk menamatkan zaman bujang. Perkahwinan adalah satu percaturan hidup yang memerlukan komitmen dan pengorbanan serta tanggungjawab,” katanya.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain