S.Subramaniam

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, Ja­batan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dipertanggungjawabkan untuk memantau pensijilan tersebut bagi memastikan status halal yang diberikan benar-benar mematuhi kriteria dan syarat yang perlu dipatuhi.

“Kementerian Kesihatan tidak akan campur tangan dalam isu berkaitan sijil halal. Ia adalah diluar keupayaan kita,” katanya pada sidang akhbar selepas menyaksikan majlis menandatangani memo­randum kerjasama (MoU) antara Pharmaniaga, Technolo­gy Depository Agency Bhd. (TDA) dan Hilleman Laboratories di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Boustead Holdings, Tan Sri Mohd. Ghazali Che Mat; Pengerusi Pharmaniaga, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin dan Ketua Pegawai Eksekutif TDA, Datuk Zailani Safari.

Menerusi MoU itu, Phamaniaga akan membangunkan fasiliti penghasilan vaksin halal termasuk mengendalikan ujian klinikal sementara Hilleman Labs akan menawarkan pemindahan teknologi bagi tujuan itu.

Subramaniam dalam pada itu menjelaskan, terdapat hanya 1,450 individu yang enggan mengambil suntikan vaksin di negara ini.

Katanya, antara lain ia melibatkan dua jenis vaksin program imunisasi penyakit iaitu meningitis dan difteria yang turut diba­ngunkan menerusi program berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Subramaniam mengakui hospital-hospital daerah masih tidak mempunyai mesin pengimbas tomografi berkomputer (CT Scan) untuk memenuhi keperluan klinikal lanjutan.

Katanya, penem­patan CT Scan buat masa ini adalah bergantung kepada ke­sesuaian termasuk jumlah pakar perubatan dan jarak antara satu hospital utama dengan lain.

“Contohnya, Hospital Port Dickson juga tidak mempunyai CT Scan dan pesakit perlu dirujuk ke Hospital Tuanku Ja’afar di Se­remban.

“Namun jarak antara ke­dua-dua hospital adalah kurang satu jam. Jadi ia tidak menimbulkan sebarang masalah serius,” katanya.