Banyak penerbit filem berebut-rebut mahu me­lakukan penggambaran di Malaysia, antaranya terbaharu, filem Singham 3 lakonan pelakon popular Tamil, Surya Sivakumar dan Anushka Shetty yang dijangka bermula bulan depan.

India yang menerima jolokan ‘Bollywood Kollywood’ merupakan pengeluar filem terbesar dunia de­ngan lebih 1,000 judul filem dihasilkan setahun, melebihi gabungan pengeluaran Amerika Syarikat atau Hollywood, Jepun dan China.

Bercakap kepada Utusan Malaysia hari ini, Pengarah Urusan Malik Streams Corporation Sdn. Bhd., Datuk Abdul Malik Dasthigeer berkata, Singham 3 merupakan sekuel Singham dan Singham 2 yang diarahkan pengarah terkenal, Hari yang mencatat box office serta kutipan sehingga RM74 juta dalam tempoh hanya dua minggu tayangan di seluruh dunia.

Menurutnya, faktor kestabilan negara ini termasuk rakyat yang peramah menjadi ukuran penerbit filem dari India memilih Malaysia, sekali gus menyangkal dakwaan kononnya Malaysia bukan sebuah negara yang selamat.

Kata beliau, syarikatnya yang sebelum ini terlibat secara langsung hampir 80 peratus penggambaran Kabali lakonan aktor nombor satu India, Rajinikanth kini mula me­nerima panggilan untuk filem-filem seterusnya.

“Rata-rata mereka (penerbit filem India) begitu teruja dengan keindahan negara ini, kemudahan yang tersedia, kos serta rakyat Malaysia yang memiliki keramahan luar biasa.

“Apabila saya ditawarkan untuk terlibat dengan filem Singham 3, saya terima dengan rasa penuh teruja. Apatah lagi penerbit dan pe­ngarah turut melahirkan kemahuan untuk melakukan pembikinan filem itu di Malaysia.

“Saya sendiri bersetuju mengendalikan kerja-kerja pembikinan filem Singham 3 selain bertindak sebagai pengedar rasmi filem tersebut. Bukan sahaja filem ini, ada beberapa lagi nama dan filem besar yang akan dilakukan penggambaran di sini,”katanya.

Sementara itu, sebanyak 27 artis dan kru dari negara ini akan berlepas ke Chennai, India bagi me­nyambung baki beberapa babak terakhir filem Kabali selama empat hari bermula 27 Mac ini.

Menurut Abdul Malik, artis yang terlibat dalam penggambaran itu adalah Datuk Rosyam Noor, Norman Hakim, Zack Taipan.

“Bila lagi kita hendak cipta nama di luar negara kalau bukan ini masanya? Filem Kabali ini semestinya dinanti-nantikan oleh seluruh peminat Rajinikanth di seluruh dunia, hampir keseluruhan filem ini berkait rapat dengan Malaysia dan rakyat di negara ini.

“Lebih menarik lagi, salah seorang daripada pembantu pe­ngarah filem Kabali ini adalah seorang rakyat Malaysia yang kini sudah bermastautin di negara itu. Beliau juga memainkan peranan besar dalam penghasilan filem ini dan seharusnya kita berbangga dengan semua keistimewaan ini,” katanya.

Filem Kabali yang hampir 80 peratus proses pembikinan dilakukan di negara ini turut buat julung kali bakal dialih bahasa ke bahasa Melayu (dubbing).