Beliau berkata, walaupun hu­bungan antara kedua-dua negara ini mengalami kisah pahit manis dan suka-duka dalam melakar se­­jarah negara masing-masing, namun talian persaudaraan yang terbina antara Malaysia-Indonesia semakin hari semakin kukuh.

‘‘Saya yakin bahawa hubung­an akrab dan positif antara dua buah negara berjiran bukan sahaja mampu menjadi semakin mantap bahkan bertambah kukuh melang­kaui sempadan diplomatik,’’ katanya dalam amanat khas yang disiarkan menerusi klip vi­deo sempena majlis makan malam sambutan Hari Malaysia dan 60 Tahun Hubungan Diplomatik Malaysia-Indonesia di sini malam tadi.

Majlis anjuran Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia itu dihadiri lebih 1,000 tetamu termasuk Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak; Menteri Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia, Muhajir Effendy dan Menteri Komunikasi dan Informatik Indonesia, Rudyantara.

Najib berkata, adalah menjadi satu kebanggaan bagi Malaysia dan Indonesia kerana kedua-dua negara ini bukan sekadar berjiran malah mempunyai banyak persamaan serta berkongsi budaya dan bahasa yang melambangkan kekayaan bangsa serumpun.

Perdana Menteri juga menyeru semua pihak agar terus memelihara dan memperkukuh hubung­an akrab itu agar mampu melam­paui batas kebudayaan yang lazim.

Najib berkata, hubungan yang dibina selama 60 tahun tidak harus dilihat dari aspek hubungan rasmi sahaja malah semua pihak harus berusaha meningkatkannya ke tahap lebih tinggi untuk gene­rasi akan datang.

Terdahulu, Muhajir berkata, walaupun hubungan Malaysia-Indonesia mempunyai pasang surut tetapi para pemimpinnya sentiasa mengutamakan kedamaian hidup berjiran.

Slogan sambutan Hari Kebangsaan Malaysia ‘‘Negaraku Sehati Sejiwa’’ itu perlu diperluaskan di peringkat hubungan antara Malaysia dan Indonesia supaya rakyat di kedua-dua buah negara juga menjadi hubungan sehati sejiwa, kata beliau.

Sementara itu, Duta Besar Ma­laysia ke Indonesia, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata, pihak kedutaan sering menganjurkan pelbagai program persahabatan dengan Indonesia kerana mengambil pendekatan ‘‘mensejahterakan jiran’’ dalam mengukuhkan hubungan.