Perdana Menteri berkata, ketiga-tiga negara akan terus membincangkan usaha kerjasama trilateral dan melaksanakannya seberapa segera yang boleh bagi menangani permasalahan serius di Laut Sulu.

‘‘Malaysia dan Indonesia sudah pun memiliki kerjasama rondaan bersama di Selat Melaka termasuk dari udara untuk mengurangkan kes lanun di kawasan berkenaan

‘‘Saya yakin ketiga-tiga negara boleh bekerjasama menerusi cara serupa untuk mencari penyelesaian tuntas di kawasan maritim tersebut,’’ kata beliau selepas menghadiri Mesyuarat Perundingan Tahunan ke-11 antara beliau dengan Presiden Republik Indonesia, Joko Widodo di Istana Presiden di sini hari ini.

Mengenai soal kewilayahan, Perdana Menteri bersetuju isu sempadan Malaysia dan Indonesia di selatan Sulawesi akan diberi perhatian.

Najib berkata, terdapat beberapa kemajuan dalam rundingan berkenaan tetapi masih jauh lagi untuk mencapai penyelesaian komprehensif yang boleh dipersetujui oleh kedua-dua negara tidak lama lagi.

Dalam soal tenaga kerja Indonesia di Malaysia, beliau bersetuju dengan pendapat Presiden Indonesia berkenaan perlunya perlindungan terhadap pekerja, didaftarkan semula dan meningkatkan kemahiran.

‘‘Kita telah meminta Kementerian Sumber Manusia menerusi jawatankuasa kerjanya untuk menghalusi perkara ini dan mengambil langkah sewajarnya,’’ ujar beliau.

Najib turut memuji langkah positif yang diambil oleh pentadbiran Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi yang mengurangkan karenah birokrasi bagi menarik lebih ramai pelabur ke Indonesia.

‘‘Malaysia adalah pelabur kedua terbesar di Indonesia, dan mahu terus berdagang untuk mencapai tahap AS$30 bilion pada tahun-tahun mendatang.

‘‘Kami juga menghargai peluang pelaburan (yang diberi Indonesia) termasuk pembinaan lebuh raya. Malah esok, satu perjanjian persefahaman bagi membina rumah kos rendah membabitkan tiga syarikat milik kerajaan akan diadakan. Ini semua contoh sumbangan Malaysia kepada pembangunan prasarana di Indonesia,’’ ujarnya.

Terdahulu, Jokowi berkata, pertemuan beliau dengan Najib berlangsung dalam suasana terbuka dan sangat produktif.

Dalam majlis Perundingan Tahunan itu, Perdana Menteri disertai beberapa anggota Kabinet termasuk Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar. – UTUSAN