Dalam konteks hubungan diplomatik yang sudah memasuki ulang tahun ke-60 itu, kedua-dua negara juga mahu kerjasama dan perkongsian strategik dipertingkatkan.

Perkara tersebut dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatannya, Narendra Modi dalam satu kenyataan bersama selepas mesyuarat dua hala di Hyderabad House di sini hari ini.

Mereka juga melahirkan komitmen berterusan dalam mempromosi kepelbagaian budaya dan demokrasi bagi memajukan pertumbuhan ekonomi dan pemba­ngunan rakyat masing-masing.

Kedua-dua negara turut mencapai kata sepakat dalam beberapa perkara lain antaranya:

* Bersetuju meningkatkan kerjasama dalam bidang e-perdagangan menerusi pelbagai inisiatif digital yang ditawarkan oleh kedua-dua negara.

* Melahirkan penghargaaan ke atas sumbangan syarikat-syarikat teknologi maklumat dari India khususnya yang beroperasi di Cyberjaya

* Mengutuk tindakan keganasan di rantau ini dan komitmen berte­rusan bagi membanteras keganasan dalam pelbagai bentuk.

* Mengekalkan persekita­ran mesra perniagaan di antara kedua-dua negara.

* Melahirkan rasa puas hati de­ngan penyertaan dan pencapaian syarikat Malaysia dalam projek jalan raya di Rajasthan dan negeri-negeri lain di India.

* Mewujudkan peluang yang le­bih luas untuk pertumbuhan Perusahaan Kecil dan Sederhana di kedua-dua negara.

* Memuktamadkan Perjanjian Pemindahan Banduan dalam terma-terma yang dipersetujui kedua-dua negara.

* Mempertingkatkan kerjasama dalam membanteras kegiatan pengganas dan jenayah rentas sempadan.

* Menyambut cadangan mewujudkan kursi Ayurveda di Universiti Tunku Abdul Rahman, MoU di antara Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Persatuan Universiti-universiti India me­ngenai pengiktirafan kelayakan pengajian di kedua-dua negara.

* Menyambut baik inisiatif kerajaan Malaysia untuk memperluaskan program visa percuma kepada warga India ke Malaysia.

* Bersetuju mempercepatkan MoU berhubung pekerja dan sumber manusia.

Dalam pada itu, sebanyak tujuh memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani antara kerajaan Malaysia dan India dalam pelbagai bidang seperti sukan, perkhidmatan udara, pendidikan tinggi, pemba­ngunan sumber manusia pengeluaran baja urea dan amonia.

Antara menteri yang hadir ialah Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Menteri Kesihatan Datuk Seri S. Subramaniam. – MINGGUAN