Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah berkata, makmal itu memfokuskan kumpulan belia terdiri daripada graduan pelbagai bidang bagi mencungkil bakat mereka untuk menghasilkan produk berpotensi.

Katanya, peserta makmal akan menjalani program jangka pendek berasaskan teknologi bersama pakar dari beberapa negara Asia.

“Dijangkakan suku ketiga tahun ini, Malaysia akan berbincang dengan beberapa syarikat terkemuka di India seperti Tata Group dan Nasscom ke arah pelaksanaan makmal itu,” katanya kepada pemberita selepas program mentor dan bimbingan Usahawan 1Malaysia (1MET), di sini hari ini.

Menurutnya, perancangan itu adalah antara perkara yang dibin­cangkan oleh Malaysia de­ngan beberapa syarikat swas­ta di India sempena lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Chennai, India baru-baru ini.

Katanya, berdasarkan rangka awal ke arah pelaksanaan makmal itu, kerajaan berhasrat menghasilkan produk berkaitan pembangunan teknologi dalam aplikasi, pembuatan, industri kecil dan sederhana (IKS) serta makanan.

Mohd. Irwan Serigar yakin, produk yang akan dihasilkan menepati kehendak pasaran Asia.

“Pendekatan proaktif itu sekali gus membantu sektor IKS mening­katkan sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melebihi 40 peratus, iaitu pencapaian ketika ini.

“Malah, negara juga tidak lagi terlalu bergantung kepada industri buruh kerana ia telah ditransformasikan sepenuhnya kepada teknologi,” katanya.