Lebih memburuk apabila negara republik itu dilihat sengaja mahu mencari pasal dengan kerajaan baharu negara ini yang didapati masih menggunakan pendekatan berlembut dalam setiap tindakannya.

Apa yang dapat dilihat oleh rakyat pada waktu ini, Malaysia tidak ubah seperti mengikut jari telunjuk Singapura.

Apa sudah jadi? Di mana pendirian Malaysia dalam mempertahankan kedaulatan negara apatah lagi membabitkan isu pencerobohan perairan kedua-dua negara?

Langkah Singapura yang mahu menangguhkan Mesyuarat Tahunan Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri Malaysia-Singapura bagi Iskandar Malaysia (JMCIM) ke-14 yang sepatutnya berlangsung Isnin ini turut dipersetujui Malaysia yang mengundang kecaman pelbagai pihak.

Malah, Singapura menggunakan alasan penangguhan mesyuarat itu berikutan terdapat isu pencerobohan kapal Malaysia membabitkan Menteri Besar Johor, Osman Sapian ke perairan republik itu di Tuas, Rabu lalu. Sedangkan, Osman berkali-kali menegaskan bahawa beliau tidak melakukan pencerobohan, sebaliknya hanya mahu melihat anggota Jabatan Laut menjalankan tugas.

Kerajaan Malaysia sendiri seolah-olah tidak tegas dalam menangani isu berkenaan dan membiarkan Singapura terus ‘membuli’ negara terutamanya dalam isu pencerobohan perairan.

Rakyat sebenarnya mahu mendengar JMCIM terus dijalankan seperti yang dijadualkan serta mencapai resolusi bagi setiap permasalahan yang berbangkit.

Semoga kedua-dua negara terus mencapai kata sepakat pada masa akan datang dan didoakan hubungan kedua-duanya bertambah baik serta tidak menjadi seperti api dalam sekam iaitu mempunyai perbuatan jahat yang tersembunyi.