Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kerjasama itu membuktikan hubungan yang terjalin antara kedua-dua negara dalam bidang pertahanan dan keselamatan sejak 2014 berjaya melangkau pelbagai sempadan.

“Dalam mesyuarat hari ini, Perancis memberi jaminan akan membantu Malaysia berhubung isu larangan import minyak sawit yang dikenakan oleh EU.

“Terima kasih kepada Menteri Pertahanan Perancis, Florence Parly kerana bersama Malaysia dalam isu ini, kami cukup menghargai­nya,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Perwira di sini, hari ini.

Sidang akhbar yang diadakan bersama itu berlangsung selepas Mesyuarat Jawatankuasa Ter­tinggi Bersama Pertahanan Strategik Malaysia-Perancis Ke-4.

Yang turut hadir ialah Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Duta Perancis ke Malaysia, Frederic Laplanche.

April tahun lalu, Parlimen Eropah meluluskan satu resolusi yang mensyaratkan hanya mi­nyak sawit dihasilkan secara les­tari boleh diimport ke pasaran EU selepas 2020.

Resolusi berkenaan yang dianggap tindakan diskriminasi EU yang mahu melaksanakan sekatan terhadap produk minyak sawit dari negara Asia bakal menjejaskan seramai 112,632 peneroka Felda dan pekebun kecil.

Sementara itu, Florence berkata, Malaysia boleh mengharapkan Perancis kerana pihaknya secara tegas tidak menyokong larangan dan perbuatan diskriminasi ter­hadap aktiviti import minyak sawit yang dilakukan EU.

“Kerajaan Perancis amat memahami kepentingan minyak sawit kepada ekonomi Malaysia khususnya bagi pembangunan kawasan luar bandar.

“Kami mahu bekerjasama de­ngan negara-negara pengeluar minyak sawit bagi menggalakkan kemampanan dalam sektor ini demi kebaikan semua pihak dan semangat kerjasama,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin yang juga Menteri Tugas-tugas Khas berkata, beliau dan Florence turut mencapai persetujuan untuk memperkasakan kerjasama ketenteraan melalui pelaksanaan latihan dan interaksi dua hala bagi meningkatkan keupayaan operasi bersama.

“Kami berdua telah berkongsi kebimbangan mengenai ancaman keganasan global, cabaran undang-undang antarabangsa serta pertahanan siber dan bersetuju untuk mencapai visi mendepani isu-isu tersebut dengan semangat kerjasama,” katanya.