Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Saudi Aram­co telah menerima fakta tidak betul daripada rakyat negara ini sendiri yang mendakwa keadaan politik Malaysia tidak stabil serta kerajaan hampir bankrap dan tidak mampu membayar gaji penjawat awam.

Beliau memberitahu, hanya selepas diberikan penerangan oleh kerajaan mengenai fakta sebenar, keyakinan Saudi Aramco terhadap Malaysia berjaya dipulihkan.

“Hampir-hampir rezeki yang patut datang terlepas dari tangan, ini kerana ada orang yang tiada perasaan, tidak berhati perut, motif mereka adalah kerana politik tetapi yang jadi mangsa adalah rakyat Malaysia

,” katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran program Ekspresi Negaraku di Dataran Putrajaya di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak dan menteri-menteri Kabinet.

Menurut Najib, beliau juga kesal dengan tindakan seorang bekas pemimpin negara yang mendakwa Malaysia adalah antara 10 negara yang paling teruk mengalami masalah rasuah.

“Padahal, kita sebenarnya dalam kedudukan 55 dari senarai 160 negara, kita tidak seburuk mana, sebagai Perdana Menteri saya boleh terima bahawa masih ada ruang penambah baikan tetapi saya tidak boleh terima (cara) hendak jatuhkan kerajaan tetapi burukkan imej Malaysia,” katanya.

Berucap dalam majlis tersebut, Najib berkata, rakyat Malaysia wajar memiliki semangat patriotik dan jati diri untuk memelihara imej negara dan mempertahankan tanah air daripada sebarang anasir dalaman dan luaran.

“Luahan patriotik bukan hanya pada hari kemerdekaan sahaja dan hari-hari tertentu sahaja tapi menghayatinya 365 sehari setahun,” katanya.

Program Ekspresi Negaraku merupakan platform untuk mengge­rakkan inisiatif Negaraku bagi memupuk semangat kasih dan bangga terhadap negara.

Acara yang diadakan dari pukul 7 pagi hingga 11 malam itu melibatkan pelbagai aktiviti termasuk Larian Bendera Negaraku dan Senamrobik Negaraku, selain memaparkan ‘Zon Kebanggaan dan Kecintaan’ untuk meluahkan ekspresi patriotisme. - UTUSAN ONLINE