Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, cubaan pembangkang untuk menghasut rakyat kononnya kerajaan yang ada kini perlu ditukar, adalah gambaran tidak tepat dan rakyat perlu menolak cita-cita besar pembangkang itu.

Beliau berkata, Malaysia kini mendapat pengiktirafan pelbagai pihak seperti Bank Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa dan agensi penarafan kredit iaitu Fitch serta Standard and Poor, adalah atas kekukuhan ekonomi negara yang kini di kedudukan 5.8 peratus pada suku kedua tahun ini iaitu antara yang tertinggi di peringkat global. "

Selain itu negara juga mendapat pengiktrafan daripada ulama tersohor Tunisia, Sheikh Rashid Al Ghannushi yang menyatakan Malaysia adalah gambaran dan imej Islam sebenar di dunia," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Sik di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Ketua UMNO Bahagian Sik, Datuk Tajuddin Abdullah dan Ketua UMNO Bahagian Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim. - BERNAMA