Perdana Menteri berkata, peranan Malaysia juga diiktiraf oleh kerajaan Arab Saudi apabila ditempatkan dalam Pusat Global Bagi Memerangi Ideologi Ekstremis di mana Malaysia menjadi salah satu daripada 10 negara yang mengasaskan pusat ber­kenaan.

Begitu juga pemilihan Kuala Lumpur sebagai Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman yang akan beroperasi pada bulan Jun ini.

“Peranan Malaysia menyerlah dalam hal ini dan mereka juga mengiktiraf Malaysia mengamalkan Islam yang sebenar, wasatiyah, Islam sederhana, progresif dan menekankan kecemerlangan serta menghormati agama lain asalkan mereka tidak memerangi Islam atau mengancam Islam,” katanya.

Najib berkata, pada sidang kemuncak itu juga Malaysia diberi penghormatan untuk berada di barisan hadapan serta berucap bersama lima pemimpin lain selain Presiden AS, Donald Trump. Pemimpin lain ialah dari Jordan, Mesir, Indonesia dan Kuwait.

Beliau berkata demikian kepada wartawan Malaysia sebelum berlepas pulang selepas meng­akhiri lawatan kerjanya selama tiga hari dengan acara terakhirnya menjadi tetamu Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud untuk majlis makan tengah hari di Istana Raja Salman di sini.

Mengenai sidang kemuncak itu, beliau berkata, ia telah berjaya membentuk satu pakatan strategik antara negara-negara Islam dan AS dalam usaha memerangi keganasan.

“Saya melihat hasil sidang itu memperlihatkan komitmen dan iltizam negara-negara Islam dan Amerika Syarikat melakukan apa sahaja yang termampu supaya ancaman ini dapat dihapuskan sama sekali,” katanya.

Katanya, sidang kemuncak itu sedar bahawa ancaman itu tidak boleh dibanteras melalui tindakan ketenteraan semata-mata, tetapi fokusnya adalah untuk memenangi hati dan fikiran dengan mengambil usaha lain seperti me­lalui media sosial dengan naratif Islam yang sebenarnya.

“Kita perlu menggunakan media sosial kerana inilah senjata ampuh Daesh untuk memenangi hati dan fikiran sebahagian orang Islam, jika tidak, kita tidak mungkin memenangi ‘peperangan’ membanteras keganasan ini terutama dalam kalangan generasi muda,” katanya.

Mengenai komitmen Raja Salman sendiri, Najib berkata, ba­ginda telah menegaskan bahawa Islam merupakan agama yang toleran dan memelihara nyawa manusia kerana Islam tidak membenarkan membunuh orang yang tidak berdosa.

Baginda juga melihat ada kerjasama dengan AS dalam meme­rangi keganasan termasuk melalui kaedah menyekat kewangan serta menyelesaikan isu Palestin.

Sementara itu mengenai pendirian Trump, Presiden AS itu telah menyatakan tidak berhasrat mengajar mana-mana negara mengamalkan apa cara yang dikehendakinya kecuali mengharapkan kesungguhan negara Islam mengusir ideologi ektremisme yang wujud di mana-mana bahagian negara Islam.

“Jelas Amerika tidak akan campur tangan dalam urusan dalaman negara Islam atau mengajar apa yang patut dilakukan,” katanya.

Najib berkata, Malaysia juga mempunyai pendirian yang sama supaya mana-mana negara tidak akan campur tangan dalam urusan mana-mana negara.

Ditanya mengenai pendirian Trump yang sebelum ini memandang serong terhadap Islam, beliau berkata, Trump telah diyakinkan bahawa musuh AS adalah kefahaman ekstremisme dan keganasan, bukannya orang Islam. – UTUSAN