Pulau berkenaan pada mula­nya dituntut sebagai kawasan jajahan Kesultanan Johor pada 1979 namun dibantah oleh Si­ngapura dan kes itu kemudian dibawa ke mahkamah tersebut pada 2003.

Walau bagaimanapun pada 2 Februari lalu, Malaysia memohon untuk menyemak semula keputusan itu dengan mendakwa memperoleh ‘fakta baharu’ daripada tiga dokumen yang ditemukan di Arkib Negara United Kingdom (UK) antara 4 Ogos tahun lalu dan 30 Januari lalu.

“Dokumen itu menunjukkan, pada tahun-tahun kritikal susulan daripada sekeping surat pada 1953, pegawai-pegawai tinggi Si­nga­pura tidak menganggap republik ini memperoleh kedaulatan pulau berkenaan dari Johor,” dakwa Malaysia yang dipetik oleh portal Channel News Asia.

Surat itu merujuk kepada kiriman daripada Pemangku Setiausaha Negeri Johor kepada Setiausaha Jajahan Singapura yang menyebut ‘kerajaan Johor tidak menuntut hak pemilikan Pulau Batu Puteh’, fakta utama yang dipertimbangkan dalam keputusan mahkamah pada 2008.

Dokumen pertama merupakan telegram sulit pada 1958 daripada Gabenor Singapura kepada Setiausaha Negeri-negeri Jajahan yang mencadangkan pembentukan koridor perairan antarabangsa kira-kira 1.6 kilometer dari pulau tersebut sekali gus menunjukkan beliau tidak menganggap Pulau Batu Puteh sebagai sebahagian daripada wilayah Singapura.

“Jika beliau faham atau telah dinasihatkan bahawa pulau itu berada di bawah kedaulatan Si­ngapura, maka tidak perlulah beliau menyokong peruntukan laluan antarabangsa hampir de­ngan pulau tersebut,” menurut dokumen berkenaan.

Malaysia juga sedar bahawa telegram berkenaan telah didedahkan oleh UK pada 2013 tetapi sepatutnya telah diketahui oleh Singapura semasa prosiding mah­kamah pada 2008 sebagai dokumen yang berasal dari republik ini.

Dokumen kedua merupakan laporan insiden kapal pada 1958 yang menyebut tentang ketidakmampuan tentera laut Britain untuk membantu kapal Malaysia yang diekori oleh bot bersenjata Indonesia dekat pulau tersebut kerana ‘kawasan itu berada dalam wilayah perairan Johor’.

Keadaan ini menunjukkan pengiktirafan Britain bahawa perairan di sekitar pulau berkenaan adalah milik Johor dan Britain tidak melihat bahawa perairan di sekitar pulau itu milik Singapura.

Malaysia sekali lagi menegaskan, pihaknya menjangka dokumen berkenaan telah diketahui Singapura.

Dokumen ketiga merupakan peta pada 1962 yang mempunyai nota tulisan tangan pada 1969 yang menunjukkan wilayah perairan Singapura tidak melebihi sekitar Pulau Batu Puteh.