logo tabung haji
 

Perkara itu dimaklumkan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr. Mohammad Saleh Bentan semasa mesyuarat tahunan urusan haji di Jeddah, Rabu lalu, yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) dalam satu kenyataan hari ini berkata, kerajaan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Arab Saudi di atas pengembalian semula kuota haji berkenaan.

Kenyataan tersebut menambah, kerajaan Arab Saudi juga hampir selesai melaksanakan projek pembangunan mega di sekitar Masjidilharam sebagai usahanya memastikan jemaah haji dan umrah seluruh dunia dapat menunaikan ibadat dengan lebih selesa.

“Kerajaan Malaysia dan Arab Saudi sentiasa duduk semeja bagi membincangkan soal pengurusan jemaah haji dan penambahbaikan setiap tahun.

“Antara perkara yang dibin­cang­kan setiap tahun adalah peruntukan kuota tambahan bagi mem­bantu memendekkan tempoh penggiliran haji,” kata kenya­taan tersebut di sini.

Delegasi kerajaan dalam me­syu­arat itu turut diwakili Duta Besar Malaysia Ke Arab Saudi, Datuk Zainol Rahim Zainuddin; Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Johan Abdullah.

Sementara itu, kata kenyataan tersebut, Tabung Haji juga sedang membuat persiapan dari segi pe­nerbangan, penginapan, pengang­kutan serta khidmat perubatan untuk musim haji tahun ini.

“Tabung Haji juga akan bekerjasama dengan pihak Muassasah Asia Tenggara dan beberapa agensi di Arab Saudi untuk memastikan keperluan logistik dirancang dengan baik bagi memastikan ke­bajikan jemaah haji Malaysia semasa berada di Mekah dan Madinah,” kata kenyataan tersebut.

Menurut kenyataan itu juga, walaupun kos haji meningkat setiap tahun, Tabung Haji masih dapat mengekalkan bayaran haji sebanyak RM9,980 untuk seorang jemaah.

“Kos menunaikan haji tahun ini telah meningkat kepada RM19,550 seorang berbanding RM18,890 tahun lalu, manakala subsidi haji yang ditanggung dijangkakan berjumlah RM200 juta bagi musim haji pada tahun ini,” jelasnya.

Sementara itu, Dr. Mohammad Saleh dalam ucapan turut memuji dan kagum dengan Tabung Haji dalam pengurusan jemaah haji yang sistematik, tersusun serta memberi penekanan kepada pembelajaran mengenai ibadat haji melalui kursus haji.

Kenyataan itu berkata, beliau juga memuji jemaah Malaysia yang sentiasa menumpukan perhatian kepada ibadat haji dan berdisiplin tinggi ketika di Tanah Suci.