Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, keputusan itu perlu dipersetujui bersama sementara menunggu perbincangan mengenai isu sempadan maritim selesai dilakukan.

Tegasnya, tindakan pemberhentian yang dilakukan sama sekali tidak akan menjejaskan kedudukan kedua-dua negara mengenai tuntutan di kawasan tersebut.

“Semasa lawatan rasmi Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ke Singapura pada 12 dan 13 November lalu, kerajaan telah mengemukakan draf agenda berkaitan mesyuarat kepada Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong.

“Perkara itu bertujuan bagi menyelesaikan isu sempadan maritim antara kedua-dua negara dan kita berharap mesyuarat itu dapat diadakan pada pertengahan bulan ini.

“Kerajaan juga telah berkomunikasi dengan kerajaan Singapura bagi membantah keputusan pengeluaran Pekeliling Pelabuhan Marin No. 9 semalam oleh pihak Maritim dan Pihak Berkuasa Pelabuhan Singapura yang berniat untuk memperluaskan had pelabuhan republik itu ke Tuas,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, kerajaan memohon agar Singapura mengeluarkan Pekeliling Pelabuhan Marin No. 9 tersebut kerana jelas melanggar undang-undang antarabangsa.

“Kerajaan menekankan bahawa perpanjangan had pelabuhan unilateral yang baharu dan dicatatkan oleh Singapura itu menceroboh wilayah perairan Malaysia dan had pelabuhan Johor Bahru yang telah ditetapkan seperti termaktub dalam Gazet Kerajaan Persekutuan P.U. (B) 587, iaitu: ‘Perisytiharan Pengubahan Had Pelabuhan untuk Pelabuhan Johor Bahru’, yang diterbitkan pada 25 Oktober 2018 oleh Jabatan Peguam Negara.

“Maka, ini adalah pelanggaran yang jelas mengenai kedaulatan Malaysia dan undang-undang antarabangsa,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE