Persetujuan tersebut dicapai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Sultan Brunei, Sutan Hassanal Bolkiah dalam Perundingan Tahunan Malaysia-Brunei kali ke-19 di Istana Nurul Iman di sini hari ini.

Menurut Najib, perkara itu adalah interpretasi kepada beberapa aspek dalam Pertukaran Surat yang ditandatangani pada Mac 2009 berhubung kedudukan 'government take' Brunei di kawasan berkenaan.

“Ini bererti sekiranya minyak atau gas ditemukan di dalam kawasan terlibat iaitu CA1 dan CA2 maka tidak akan timbul masalah berhubung pembahagian di antara Malaysia dan Brunei,” katanya dalam sidang akhbar di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei di sini hari ini.

Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor kemudian berlepas pulang ke ibu negara.

Turut bersama Najib dalam Perundingan Tahunan Malaysia Brunei Ke-19 antaranya Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Saem.

Sementara itu, Najib berkata, perkara utama lain yang dipersetujui hari ini termasuk meneruskan kerja-kerja penentuan sempadan darat pada bahagian yang belum dimuktamadkan.

Katanya, bagi melancarkan perhubungan rakyat, kata sepakat dicapai supaya waktu operasi pintu sempadan Malaysia dengan Brunei dilanjutkan sehingga 12 tengah malam selain melihat semula pemeriksaan imigresen untuk pengguna Lebuh Raya Pan Borneo yang perlu melalui banyak pemeriksaan sebelum dapat meneruskan perjalanan.

Tambah Najib, Malaysia dan Brunei juga bersetuju supaya para nelayan di kawasan penangkapan ikan secara tradisi tidak dihalang pergerakan kerana mereka tidak mengenal garis sempadan.

“Dari aspek pertahanan pula, kerjasama antara Malaysia dan Brunei berada pada tahap terbaik dan saya berterima kasih kepada Sultan Hassanal Bokiah atas persetujuan menawarkan empat buah helikopter Blackhawk terpakai kepada Kementerian Pertahanan kita,” jelasnya.

Sementara itu, Najib berkata, hubungan baik Malaysia-Brunei yang terjalin itu akan dijadikan landasan untuk mengorak langkah ke hadapan dan menambah baik ke atas apa yang telah diusahakan.

Katanya, untuk itu, beliau dan Sultan Brunei bersetuju untuk mencari bidang baru yang boleh diterokai seperti pelaburan dalam bidang penjanaan elektrik dan penternakan di Sabah dan Sarawak.

“Selain itu, pertemuan yang menjangkau sejam 15 minit itu turut menyentuh isu serantau dan antarabangsa dengan kami berharap segala penyelesaian di Laut China Selatan dilakukan menerusi rundingan untuk kestabilan rantau ini,” ujarnya.– UTUSAN