Presiden Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Amir Amsaa Alla Pitchay berkata, langkah itu wajar kerana kerajaan negara ini memiliki pengalaman yang luas dalam menyelesaikan isu-isu seperti Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), tahun lalu.

“Langkah menghulurkan ban­tuan seperti yang dilakukan be­berapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam Misi Food Flotilla for Myanmar merupakan tindakan yang baik untuk Malaysia menzahirkan sokongan dan simpati terhadap etnik Rohingya.

“Tetapi, ia bersifat jangka pendek. Jadi adalah lebih baik Malaysia menjadi fasilitator atau orang tengah antara kerajaan Myanmar dan umat Islam Rohingya,” kata­nya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kejadian yang mengakibatkan hampir 400 orang terbunuh terutama pejuang Rohingya dalam pertempuran di barat laut Myan­mar untuk tempoh seming­gu lalu, sekali gus menjadi insiden keganasan paling teruk pernah direkodkan.

Sementara itu, Pre­siden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd. Azmi Abd. Hamid berkata, kerajaan Malaysia perlu lantang menyuarakan ke peringkat antarabangsa agar operasi ketenteraan di Myanmar dihentikan serta-merta.

Seterusnya kata beliau, kerajaan Malaysia juga perlu memberi tekanan kepada M­yan­mar supaya membuka laluan kepada pelbagai NGO kemanusiaan bagi membantu mangsa khususnya golongan wanita dan kanak-kanak.

“Penindasan yang dilakukan oleh tentera Myanmar terhadap Rohingya menunjukkan kerajaan yang dipimpin Aung San Suu Kyi itu cukup degil malah langsung tidak mengendahkan amaran serta undang-undang antarabangsa.

“Malaysia dan semua negara Islam tidak boleh memeluk tubuh dan sekadar bersimpati dalam hal ini sebaliknya tindakan tegas termasuk memutuskan hubungan diplomatik perlu dilakukan terhadap kerajaan Myan­mar supaya berhenti bertindak kejam terhadap etnik Rohingya,” kata beliau.