Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, setelah sekian lama Hong Kong memegang peranan berkenaan, tidak mustahil bagi Malaysia ‘mengambil alih’ usaha tersebut khususnya melibatkan rantau ASEAN.

“Kita lihat Hong Kong telah menjadi pintu masuk kepada saluran barangan. Namun peranan ‘transshipment country’ ini boleh ditambah luas, bukan sekadar pengedaran dan penyaluran barangan serta produk-produk dari negara kita, tetapi pada waktu yang sama Malaysia harus dijadikan juga sebagai negara ‘transshipment’ untuk produk-produk dari beberapa negara yang selama ini peranan itu dimainkan oleh Hong Kong.

“Usaha ‘transshipment country’ ini boleh dimainkan peranannya oleh Malaysia bagi seluruh negara-negara ASEAN kerana kita memiliki kemudahan-kemudahan pelaburan dan infrastruktur serta saluran komunikasi yang lebih luas terutamanya dengan pewujudan Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi sarapan pagi bersama wartawan Malaysia yang membuat liputan Sidang Kemuncak Ekonomi China Sedunia (WCES) 2017 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Konsul Je­neral Malaysia bagi Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong dan Macau, Tengku Datuk Sirajuzzaman Tengku Mohamed Ariffin, Penaung Sidang Kemuncak Ekonomi China Sedunia (WCES) 2017, Tan Sri Lee Kim Yew dan Pengerusi Sidang Kemuncak, Tan Sri Dr. Michael Yeoh.

WCES 2017 anjuran Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI) berlangsung selama dua hari iaitu pada 13 dan 14 November dan merupakan dasar bagi menggalakkan dialog sesama rantau dan global terhadap kemunculan serta peranan China selaku antara ‘pemegang’ kuasa ekonomi dunia.

Ahmad Zahid berkata, pe­luang menjadi hab pengedaran dan penyaluran produk-produk boleh direalisasikan khususnya selepas Hong Kong memeterai perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan ASEAN.

Dalam perkembangan lain, beliau menjelaskan sasaran menarik tiga juta pelancong China ke Malaysia tahun ini tidak dapat dicapai ekoran promosi yang agak menurun disebabkan pengura­ngan peruntukan.

“Kita cuma peroleh kira-kira 1.8 juta pelancong dari China, setakat 31 Oktober lalu. Oleh kerana kita akan melancarkan Tahun Melawat Malaysia 2020, promosi itu akan bermula tahun depan dan kita pastinya boleh menarik kehadiran pelancong dengan lebih ramai.

“Tourism Malaysia telah menjalinkan kerjasama dengan CNTA, iaitu sebuah agensi yang menyerupai Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan di China. Tumpuan bukan hanya kepada bandar-bandar utama tetapi kepada bandar-bandar tahap kedua yang kurang jaringan di China,” katanya.

Beliau memberitahu, promosi juga perlu digiatkan di Hong Kong yang kebanyakannya merupakan pelancong ‘kelas atasan’. – UTUSAN