Menurut Timbalan Perdana Menteri, isu yang membabitkan negara dan rakyat Palestin sentiasa dekat di hati rakyat Malaysia dan perkara tersebut bukan membabitkan kepentingan orang Islam sahaja malah melibatkan keseluruhan komuniti antarabangsa.

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara tersebut termasuk beberapa saranan oleh Malaysia dalam menangani isu ber­kenaan.

“UMNO juga sebagai tulang belakang parti pemerintah amat dekat dengan isu-isu berkaitan Palestin dan kita akan mende­ngar kenyataan rasmi oleh Perdana Menteri.

“Beberapa tindakan akan diambil tetapi dengan tidak mencampuri urusan dan dasar mana-mana kerajaan terutamanya kuasa-kuasa besar,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan delegasi Hamas sempena Perhimpunan Agung UMNO 2017 di sini hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Diaspora Hamas, Dr. Maher Salah; Ketua Perhubungan Islam dan Arab Hamas, Izzat Rishaq dan Ahli Ke­pimpinan Politik Hamas, Usamah Hamdan.

Ahmad Zahid pada masa sama mahu kesemua anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) senada dalam membangkitkan masalah berkenaan.

Sementara itu, Maher berkata, pihaknya bimbang terhadap usaha pemindahan ibu negara Israel ke Baitulmaqdis memandangkan kota itu merupakan bandar suci umat Islam serta ibu negara Pales­tin.

Beliau menzahirkan penghargaannya kepada Malaysia serta UMNO kerana sentiasa memberi perhatian terhadap apa-apa jua masalah yang dihadapi oleh negaranya.

“Rantau Arab juga berada di dalam keadaan yang tidak menentu. Kami bimbang tindakan usaha oleh Israel itu akan memburukkan lagi situasi di rantau itu,” katanya.