Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menjelaskan, tiga agensi penarafan kredit antarabangsa terbesar dunia iaitu Moody's, Fitch Ratings dan S&P Global Ratings telah mengekalkan penarafan kredit negara.

Beliau menjelaskan, Moody’s menerusi laporan mereka awal bulan ini menyatakan pertumbuhan ekonomi Malaysia akan terus berkembang secara lebih kukuh berbanding negara lain mempunyai penarafan A dan juga menjelaskan kepelbagaian serta kekukuhan ekonomi dapat mengurangkan sebahagian kesan negatif paras hutang yang tinggi.

"Rumusan ini dikeluarkan selepas satu laporan dikeluarkan Moody’s pada 7 Disember 2018 yang memutuskan untuk mengekalkan kredit Malaysia pada taraf A3 berdasarkan kepada pertumbuhan ekonomi memberangsangkan dan pasaran modal tempatan mendalam serta rangka kerja institusi meyakinkan.

"Agensi tersebut juga menekankan bahawa kemungkinan penarafan kredit Malaysia berubah dalam masa terdekat adalah rendah dan ini juga akan meyakinkan pelabur dan komuniti perniagaan terhadap ekonomi negara," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Selain itu Guan Eng menambah, Fitch Ratings pula melalui satu laporan bertajuk 'Malaysia Budget Balances Wider Deficit with Transparency' menekankan bahawa Belanjawan 2019 memenuhi sasaran konsolidasi fiskal dalam jangka masa sederhana selain menjangkakan kadar hutang akan menurun dalam masa beberapa tahun jika Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) secara amnya berkembang pada kadar 4.9 dan 5.0 peratus masing-masing pada 2019 dan 2020.

"Agensi ini juga mengekalkan penarafan kredit Malaysia pada A- dengan prospek stabil dan lebih utama lagi, mereka menyimpulkan bahawa kerajaan baharu ini telah dipilih pengundi atas janji-janji mempertingkatkan tadbir urus pentadbiran dan menangani gejala rasuah dalam sektor awam.

"Pembaharuan institusi ini yang bertujuan menyerapkan prinsip cekap, amanah dan telus (CAT) seperti dinyatakan sewaktu Belanjawan 2019 termasuklah migrasi ke perakaunan akruan daripada perakaunan tunai pada 2021, pengenalan Akta Tanggungjawab Fiskal pada atau sebelum 2021 dan kewujudan Akta Perolehan Kerajaan tahun ini," katanya.

Pada masa yang sama, Guan Eng berkata, S&P Global Ratings juga melaporkan bahawa komitmen kerajaan terhadap konsolidasi fiskal boleh dipercayai manakala tekanan kewangan seperti pembayaran rebat GST akan beransur pulih selepas 2019 selain juga mengekalkan penarafan kredit Malaysia pada A-.

Ujar beliau, walaupun agensi-agensi penarafan sebelum ini telah menyatakan kebimbangan tentang asas pendapatan yang berkurangan selepas pemansuhan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan digantikan dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST), namun ia telah berjaya diatasi.-UTUSAN ONLINE