SHAHUL HAMID ABD. RAHIM

Pakar kriminologi bebas, Datuk Shahul Hamid Abd. Rahim berkata, sistem pembelajaran negara masih belum mampu menghasilkan individu yang takut untuk melakukan jenayah dan disebabkan itulah hukuman berkenaan masih belum boleh dimansuhkan.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan memperkasakan sistem pembelajaran negara terlebih dahulu sebelum sebarang usaha memansuhkan hukuman mati dilaksanakan.

“Saya sasarkan lima ke 10 tahun akan datang kita boleh mansuhkannya, buat masa sekarang masyarakat masih belum boleh terima kesalahan jenayah berat dibebaskan daripada hukuman mati,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mazlan Ali
MAZLAN ALI

Sementara itu, Pensyarah Kanan Bahagian Politik dan Polisi Awam Sekolah Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Mazlan Ali berkata, negara maju seperti Amerika Syarikat (AS) dan Singapura masih melaksanakan hukuman mati mandatori.

Justeru kata beliau, piawai­an yang menyatakan Malaysia tergolong dalam kalangan negara maju jika memansuhkan hukuman mati adalah tidak benar dan dangkal.

“Selain itu, agama Islam sendiri memiliki peruntukan hukuman mati. 65 peratus umat Islam di negara ini masih berfahaman mati perlu dibayar de­ngan mati. Jadi hukuman mati masih relevan di negara ini.

“Jumlah jenayah berat di negara kita masih lagi tinggi, rasanya kalau dimansuhkan kelak semakin bermaharajalela penjenayah ini,” katanya.