Anifah Aman

Kementerian Luar dalam satu kenyataan hari ini memberitahu, antara isu lain yang turut dibawa oleh Anifah dalam perhimpunan tersebut ialah mengenai Palestin, perkembangan di Semenanjung Korea, penghapusan senjata nuklear, Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global serta inisiatif pembaharuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Anifah mengetuai delegasi Malaysia dalam perhimpunan tersebut dan beliau diiringi oleh pegawai-pegawai kanan dari kementerian.

“Beliau dijadual menyampaikan isu-isu tersebut dalam Kenyataan Negara semasa sesi debat umum pada 22 September nanti,” jelas kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, UNGA Ke-72 yang bertemakan 'Tumpuan Kepada Rakyat: Ke Arah Keamanan dan Kehidupan Yang Baik Untuk Semua' bakal menfokuskan kepada usaha PBB dalam meningkatkan kualiti hidup manusia sejagat dalam keadaan aman dan menjalani kehidupan yang sejahtera melalui pembangunan mapan.

“Tema ini turut menggambarkan penekanan yang lebih tinggi oleh PBB kepada pelaksanaan dan pencapaian 17 Matlamat Pembangunan Mampan di bawah Agenda Pembangunan Mampan 2030,” menurut kenyataan itu.

Anifah juga dijangka menandatangani Triti Pengharaman Senjata Nuklear dan memorandum persefahaman (MoU) Pasukan Penyiasat Bersama berhubung MH17 pada 20 September ini bagi pihak kerajaan Malaysia.

“Semasa di New York, Anifah turut dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatnya di UNGA Ke-72 untuk membincangkan perkara-perkara berkepentingan bersama.

“Beliau juga akan mengha­diri mesyuarat ber­kait­an ASEAN, Pertubuhan Kerja­sama Islam (OIC); Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Komanwel dan Mesyuarat Koordinasi Gerakan Negara-negara Berkecuali,” jelas kenyataan itu lagi.

Menurut kenyataan itu, Malaysia akan terus bekerjasama dengan ahli-ahli PBB yang lain untuk menyokong usaha-usa­ha ke arah mencapai matlamat di bawah tema tahun ini dan terus menyokong peranan utama pertubuhan itu sebagai platform ke arah mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa.