HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN
HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Angkatan Tentera Ma­­laysia (ATM) te­lah bersiap sedia menghantar bantu­an kemanusiaan khu­susnya makanan ke kawasan yang terjejas.

“Saya telah membuat panggilan kepada Setiausaha Pertahanan Filipina, Delfin Lorenzana bagi melahirkan rasa simpati dan kebimbangan ATM serta rakyat Malaysia terhadap mangsa bencana di selatan Filipina.

“Justeru, Saya telah mengarahkan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zulkiple Kassim supaya bersiap sedia menyela­raskan penghantaran bantuan ke­­manusiaan dalam bentuk pengedaran bahan makanan dengan rakan sejawatnya di Filipina,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Hishammuddin dalam status Twitternya ber­kata, langkah tersebut diambil sejurus beliau pulang ke tanah air selepas mengadakan lawatan kerja di Maghribi.

Menurut laporan AFP, seku­rang-kurangnya 182 orang disahkan maut selepas ribut tropika Tembin melanda selatan Filipina sehingga memaksa puluhan ribu penduduk me­ninggalkan kediaman masing-masing.

Persekutuan An­ta­rabangsa Pa­lang Merah dan Persatuan Bulan Sabit Merah (IFRC) berkata, lebih 70,000 penduduk Mindanao te­lah dipindahkan susulan banjir kilat yang membawa lumpur melanda pulau ber­kenaan.