Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman menegaskan, Malaysia perlu memberikan gambaran yang sebenar tentang kezaliman dan penindasan ke atas suku etnik tersebut.

Beliau berkata, pendirian negara berhubung isu itu jelas iaitu kezaliman dan penindasan yang sedang berlaku mesti dihentikan dan bantuan kemanusiaan perlu disalurkan segera.

“Apa yang sedang berlaku adalah krisis kemanusiaan dan perlu ditangani dengan betul, bukan dengan cara menyembunyikan kebenaran,” tegas beliau ketika ditemui selepas majlis Transformasi Nasional 2050 (TN50) bersama pelajar dan diaspora Malaysia di sini, hari ini.

Semalam Malaysia membuat keputusan membantah dan tidak bersetuju dengan kenyataan Pengerusi ASEAN berhubung krisis kemanusiaan yang berlaku ke atas etnik Rohingya di Rakhine, Myanmar.

Sehubungan itu, Malaysia tidak mahu dikaitkan dengan kenyata­an berkenaan kerana apa yang disebut dalam kenyataan itu tidak menggambarkan situasi sebenar yang berlaku di wilayah tersebut.

Menurut Anifah, beliau agak terperanjat dengan kenyataan Pengerusi ASEAN bahawa ‘semua Menteri Luar bersetuju’ kerana Malaysia tidak pernah bersetuju dan pendirian itu juga tidak berubah dan konsisten sejak dari dulu lagi.

Katanya, Pengerusi ASEAN boleh mengeluarkan kenyataan berasingan sebagai Pengerusi tetapi beliau tidak boleh menyatakan ‘semua Menteri Luar’ bersetuju.

“Sedangkan mengikut Piagam ASEAN, keputusan yang dicapai mestilah secara konsensus daripada 10 anggota pertubuhan itu. Lebih dikesalkan tidak ada sepatah pun perkataan Rohingya dise­but dalam kenyataan tersebut,’’ tegasnya.

Menurut Anifah lagi, Malaysia mahu krisis kemanusiaan itu diberi gambaran sebenar bagi membolehkan satu jalan penyelesaian dirangka bukan sahaja untuk jangka pendek tetapi juga penyelesaian secara jangka panjang.

“Tambahan lagi, isu ini telah dibincangkan di peringkat Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan disentuh oleh Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sendiri.

“Justeru kita menyeru agar kerajaan Myanmar mengambil tindakan untuk kawal keadaan supaya masyarakat Rohingya boleh balik ke negara itu tanpa sebarang sekatan,” tegas beliau.

Menurut beliau lagi, sebagai anggota ASEAN, Malaysia mahu membantu malah telah menawarkan bantuan kemanusiaan, malangnya sehingga saat ini, tidak nampak lagi jalan bantuan kemanusiaan itu boleh dihantar ke wilayah Rakhine.

Kira-kira 200 pelajar dan diaspora Malaysia yang berada di New York, Amerika Syarikat (AS) menghadiri majlis TN50 Bersama Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman semalam.

Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Tan Sri Zulhasnan Rafique bertindak sebagai mode­rator dalam majlis yang berlangsung selama dua jam itu.

Anifah mendengar pelbagai pandangan dan aspirasi yang dilontarkan oleh pelajar dan rak­yat Malaysia yang tinggal di negara ini. Beliau turut menjawab dan menjelaskan pelbagai perkara berbangkit yang ditanya peserta.

Para peserta selepas itu dijamu dengan menu makanan Malaysia termasuk buah durian ‘Musang King’ yang sudah memasuki pasaran AS sejak beberapa tahun lalu.