Ini bermakna, Malaysia bakal dilanda cuaca panas terik selain menerima taburan hujan yang tinggi sekali gus boleh menjurus kepada kejadian bencana seperti kemarau dan juga banjir.

Perkara itu turut disokong menerusi data diperoleh Jabatan Meteorologi sejak beberapa tahun lalu yang me­nunjukkan peningkatan ketara secara konsisten setiap tahun di kesemua kawasan cerapan seluruh negara.

Ketua Pengarahnya, Alui Bahari berkata, berdasarkan data pencerapan di stesen meteorologi Jabatan Meteorologi, corak purata suhu tahunan negara dalam tempoh 40 hingga 60 tahun lalu menunjukkan trend meningkat.

“Suhu panas ekstrem, gelombang haba dan kejadian hujan lebat lebih daripada kebiasaan dijangkakan akan berlaku dengan lebih kerap berbanding tahun-tahun sebelumnya dan trend tersebut dilihat terus meningkat.

“Kesannya, suhu panas ketika musim kemarau akan me­ningkat lebih tinggi berbanding sebelumnya, begitu juga musim tengkujuh akan menyebabkan kejadian banjir yang lebih ekstrem,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Merujuk Laporan Khas 1.5 darjah Celsius (SR1.5), Panel Antara Kerajaan Mengenai Perubahan Iklim (IPCC) baru-baru ini turut menyatakan dalam tempoh 100 tahun (1905 hingga 2005) suhu permukaan dicatatkan meningkat sebanyak 0.17 darjah Celsius.

Jelas Alui, kenaikan suhu menyebabkan paras permukaan laut dunia turut meningkat sebanyak 1.8 milimeter setahun yang pastinya memberikan impak kepada negara-negara kepulauan termasuk Malaysia.

Katanya, jabatan turut mengesahkan berdasar maklumat terkini (sehingga 15 Oktober), kebanyakan sistem model iklim menjangkakan fenomena El Nino akan bermula pada November atau Disember ini de­ngan kebarangkalian 70 hingga 75 peratus.

“Sehingga kini tiada kaedah saintifik di dunia berupaya untuk meramalkan keadaan cuaca dalam jangka panjang di masa hadapan.

“Namun, jika kita lihat trend unjuran peningkatan suhu purata global tetap berlaku sekiranya kesan antropogenik (pelepasan gas rumah hijau) te­rus wujud serta tidak dikawal,” katanya.

Ujarnya, dari segi persiapan, jabatan mengaplikasikan sistem Pengkomputeran Berprestasi Tinggi sejak pertengahan tahun 2017 bagi membolehkan risiko bencana dijangka tujuh hari lebih awal berbanding dahulu hanya tiga hari.

“Sistem ini membekalkan perincian bagi kawasan yang dilanda bencana dengan resolusi satu kilometer persegi berban­ding empat kilometer persegi sebelumnya.

Tegas Alui, impak cuaca ekstrem kepada manusia boleh dikurangkan menerusi persediaan awal seperti sentiasa bersedia dengan kemungkinan bencana.

“Orang ramai perlu peka ter­hadap sebarang perubahan cuaca di kawasan masing-ma­sing serta maklumat cuaca yang dikeluarkan oleh jabatan.

“Selain pihak kami, persediaan untuk menghadapi ancaman cuaca ekstrem turut melibatkan pelbagai pihak se­perti agensi-agensi pengurusan bencana, pertubuhan bukan kerajaan serta orang ramai,” katanya.