Perdana Menteri berkata, terbaharu, negara akan menerima kemasukan aliran dana sebanyak AS$7 bilion (RM3.9 bilion) daripada syarikat gergasi minyak dan gas milik kerajaan Arab Saudi, Saudi Aramco, pada 31 Mac ini.

Kata beliau, negara juga bakal menerima pelaburan daripada sebuah syarikat telekomunikasi dan beberapa perniagaan lain luar negara, SK Group, yang telah memilih Malaysia sebagai pusat serantau ini, Asia Barat dan India baru-baru ini.

“Syarikat ini mempunyai penjualan hasil sebanyak AS$123 bilion (RM480 bilion) setahun iaitu lebih tinggi daripada Bajet nasional,” katanya ketika berucap merasmikan Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan majlis ramah mesra bersama penjawat awam yang dihadiri kira-kira 5,000 tetamu di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Turut hadir Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd. Irwan Siregar Abdullah.

Najib seterusnya berkata, pengumuman pelaburan juga telah dibuat oleh HSBC untuk membuka pusat pejabat rantau ini di kawasan Tun Razak Exchange (TRX) di Kuala Lumpur dengan nilai sebanyak RM1 bilion.

Berhubung penarafan tiga buah badan antarabangsa iaitu Fitch, Moodys dan Standard & Poors terhadap keupayaan pentadbiran kerajaan kata beliau, pengiktirafan itu bukan calang-calang.

Katanya, ini kerana ketiga-tiganya telah menghantar pasukan ke negara ini untuk mengkaji mendalam daripada segi fakta dan angka sebelum memberi pengiktirafan kategori A kepada Malaysia.

“Pada masa sama, kita juga menerima pengiktirafan yang positif daripada Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), Bank Dunia dan Pertubuhan Perdagangan Antarabangsa (WTO) terhadap ekonomi negara yang ditadbir kerajaan. Ini kemajuan yang kita boleh banggakan,” ujar beliau.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, pembangunan negara mestilah bersifat inklusif dengan bukan sahaja seluruh rakyat tidak terpinggir daripada arus kemajuan tetapi juga di setiap wilayah dan negeri iaitu dari Perlis sehingga ke Sabah. - UTUSAN ONLINE