Kerjasama yang dibentuk secara Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) itu dijangka mempercepatkan sasaran Malaysia mencapai 20 negara teratas dunia dalam ekonomi di bawah Transformasi Nasional 2050.

Sehubungan itu, majlis memeterai memorandum perjanjian persefahaman (MoU) di antara kerajaan Malaysia dengan SK Group telah dijalankan hari ini dengan disaksikan
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Hotel Mandarin Oriental di sini hari ini.

Turut sama menyaksikan majlis MoU berkenaan ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah dan Pengerusi SK Group, Chey Tae Won.

Terdahulu, Perdana Menteri di dalam ucapannya berkata, di bawah kerjasama itu, SK Group dijangka membuka ibu pejabat serantaunya di Malaysia bagi mewakili perniagaanya di ASEAN, India dan Asia Barat.

Katanya, kumpulan perniagaan itu akan menjadikan negara ini sebagai pusat perkembangan perniagaan luar negaranya yang terbesar di rantau ini.

“Kerjasama ini akan membolehkan SK Group melahirkan lebih banyak bakat-bakat berkemahiran tinggi tempatan serta pemimpin perniagaan masa hadapan menerusi latihan dan bimbingan yang dijalankan,” katanya.

SK Group dikatakan berminat untuk bekerjasama dengan kerajaan Malaysia berikutan kestabilan politik, asas ekonomi yang kukuh dan persekitaran perniagaan yang memberangsangkan.

Pada majlis sama, SK Group di bawah anak syarikatnya, SK Holdings Co. Ltd. dan SK Telecom Co. Ltd. turut memeterai MoU dengan Cyberview Sdn. Bhd. bagi membangunkan bandar pintar secara NBOS di negara ini. - UTUSAN ONLINE