KUALA LUMPUR 11 Feb. - Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan anak syarikat milik penuhnya, Malaysia Airports (Sepang) Sdn. Bhd. (MASSB) atau secara kolektifnya Malaysia Airports telah mengeluarkan dan menyampaikan surat tuntutan kepada AirAsia Berhad serta AirAsia X Berhad untuk menarik balik berhubung penyiaran artikel yang tidak tepat dan mengelirukan.
Artikel-artikel berkenaan disiarkan melalui portal dalam talian milik syarikat penerbangan tambang rendah itu.
Malaysia Airports dalam kenyataannya berkata, pihaknya menuntut AirAsia untuk memadam artikel-artikel tersebut dengan segera dari portal dalam talian dan berhenti daripada membuat sebarang kenyataan yang salah, tidak tepat dan mengelirukan tentang Malaysia Airports.
Sementara itu, Malaysia Airports yang tidak mempunyai masalah dengan AirAsia telah memaklumkan kepada pemegang sahamnya tentang kemajuan dan status tuntutan mahkamah mengikut peruntukan undang-undang.
Jelasnya, AirAsia bertindak melampaui batasan dengan menerbitkan kenyataan yang salah, tidak tepat dan mengelirukan melalui media bertujuan menjejaskan reputasi Malaysia Airports. - UTUSAN ONLINE