Malaysia Airports yang kini mengendalikan 39 buah lapangan terbang di seluruh negara dan satu di Istan­bul, Turki merupakan antara syarikat pengendali lapangan terbang terbesar di dunia.

Kesemua lapa­ngan terbang tersebut terdiri daripada lima lapangan terbang antarabangsa, 16 lapangan terbang domestik dan 18 STOLports iaitu la­pangan ber­landasan pendek yang kebanyakan­nya ber­ope­rasi di ka­wasan pedalaman.

Bahkan sejak 1995 lagi, Malaysia Airports terlibat dalam pe­ngurusan tujuh lapangan terbang luar negara iaitu Lapangan Terbang An­tarabangsa Siem Reap dan Phnom Penh di Kemboja; Lapangan Terbang An­tarabangsa Astana di Kazakhs­tan; Lapangan Terbang Antarabangsa Delhi dan Hyderabad di India, Lapangan Terbang Antarabangsa Maldives dan terbaharu Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen di Turki.

Pencapaian membanggakan itu membuktikan kepakaran Malaysia Airports dalam pengu­rusan lapangan ter­bang di peringkat dunia, sekali gus meletakkan syarikat pelaburan mi­lik Khazanah Nasional Berhad itu sebagai pengendali hab pe­ner­bangan utama di ASEAN.

Pengarah Urusannya, Datuk Badlisham Ghazali berkata, reputasi Malaysia Airports sebagai pengendali lapa­ngan terbang bertaraf dunia dapat dilihat daripada pelbagai kejayaan yang dicapai di dalam dan luar negara.

Katanya, pencapai­an demi pencapaian oleh syarikat milik kerajaan (GLC) itu disokong oleh kedudukan lapangan utamanya, Lapa­ngan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan terminal keduanya iaitu KLIA2.

“KLIA secara berterusan telah menjana pertumbuhan syarikat dengan peningkatan trafik penumpang membabitkan laluan penerbangan baharu dan penambahan kekerapan penerbangan syarikat sedia ada.

“KLIA juga merupakan pangkalan kepada empat syarikat pe­nerbangan Malaysia - Malaysia Airlines Berhad, Malindo, AirAsia dan AirAsia X juga berada di posisi ter­baik untuk mengukuh­kan lagi kedudukan negara sebagai hab penerbangan utama di rantau ASEAN,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Badlisham berkata, kedua-dua terminal itu kini mengenda­likan lebih daripada 60 syarikat pe­nerbangan yang meng­hubungkan KLIA dengan le­bih 120 destinasi secara lang­sung dan lebih 1,000 destinasi secara tidak langsung (transit).

Katanya, sejak ditubuh­kan pada 1992, Malay­sia Airports menerima pelbagai pengiktirafan di peringkat do­mestik dan antarabangsa, sekali gus me­ngukuhkan ke­dudukannya di seluruh dunia sebagai salah sebuah pe­ngendali lapangan terbang terbaik di dunia.

“Antara pencapaian KLIA adalah menduduki tempat teratas lapangan terbang dalam kategori lebih 40 juta penumpang selama beberapa tahun dalam Anugerah ACI ASQ.

“Pada 2014, KLIA dianuge­rahkan Large Airport of The Year pada majlis CAPA Awards for Excellence di Asia Pacific Aviation 2014,” katanya.

Sejak beberapa tahun yang lalu, pelbagai inisia­tif bersepadu diwujudkan untuk mengukuhkan perniagaan an­taranya inisiatif Hab KUL, Pengalaman Menyeluruh La­pangan Terbang (TAE), KLIA Aero­polis dan Pengemba­ngan Antarabangsa.

Semua usaha itu katanya, diharap mampu mencapai sasaran pelan perniagaan lima tahunnya, Runway to Success 2020 (RtS 2020) iaitu 155 juta pergerakan penumpang bagi keseluruhan kumpulan.

Antara inisiatif penawaran per­khidmatan yang disediakan semenjak pelancaran RtS2020 adalah menyediakan sambungan pemindahan penumpang lancar antara syarikat penerbangan kos rendah dan perkhidmatan penuh serta perkhidmatan KUL VIP Akses.

“Perkhidmatan ini meliputi perkhidmatan eksklusif dan pantas bagi penumpang yang menggunakan KLIA. Ia merangkumi perkhidmatan limosin, tawaran beli-belah, khidmat iringan selain laluan pintas untuk pendaftaran masuk, pemeriksaan imigresen dan kastam serta perkhimatan buggy,” katanya.

Dari segi kewangan, tambah Badlisham, Malaysia Airports membuktikan pencapaian membanggakan apabila tersenarai sebagai GLC berpres­tasi tinggi de­ngan pendapatan tiga kali ganda berbanding se­puluh tahun lalu.

Selain pengukuhan dalam bidang perniagaan, Malaysia Airports turut terlibat dalam pelbagai program tanggungjawab korporat seperti program komuniti contohnya Program Sekolah Angkat Beyond Borders, Skuad Ceria serta Airport @Komuniti yang bertujuan memperkasakan pendidikan dan membantu menambah baik kediaman dan barang-barang keperluan asas, katanya.