“Singapura telah membantah penceroboh berulang menerusi tiga TPN (Nota Pihak Ketiga),” kata Menteri Pengangkutan republik itu Khaw Boon Wan dalam satu kenyataan hari ini.

Penyataan tersebut dihantar kepada Bernama selepas sidang akhbar dengan media tempatan pada 5 petang.

Memandangkan perkemba­ngan provokatif baru-baru ini, Boon Wan berkata, Singapura memutuskan untuk melebarkan Had Pelabuhan Singapura di luar Tuas melalui Pembe­ritahuan Maritim dan Penguasa Pelabuhan Singapura (Had Pelabuhan) (Pindaan) 2018.

“Pelebaran ini adalah dalam lingkungan Perairan Wilayah Singapura, dan menjejaki sempadan timur Had Pelabuhan Johor Bahru 1999. Warta itu berkuat kuasa hari ini,” kata Boon Wan.

Boon Wan menarik perhatian bahawa pendirian Singapura dengan Malaysia “sentiasa jelas dan konsisten” kerana “kami mendukung undang-undang antarabangsa dan menghormati perjanjian dua hala.”

“Kami akan melindungi dan mempertahankan kedaulatan wilayah Singapura. Singapura tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap pencerobohan dan kegiatan yang tidak dibenarkan di perairan kita,” kata beliau.

Mengenai cadangan Malaysia bahawa kedua-dua negara ber­usaha ke arah mencari penyelesaian secara berbaik-baik, Boon Wan berkata: “Singapura sememangnya bersetuju dan akan menyusulnya.”

“Kami sentiasa berpanda­ngan, sejak Malaysia menerbitkan peta pertamanya pada 1979, bahawa garis sempadan di kawasan ini hanya boleh di­selesaikan mengikut undang-undang dan amalan antarabangsa, melalui perundingan antara kerajaan-kerajaan terlibat.

“Dalam pada itu, kapal-kapal Kerajaan Malaysia harus menghentikan pencerobohan dan kembali ke ‘status quo’ sebelum 25 Oktober 2018,” kata beliau.

Bagaimanapun, Boon Wan menyatakan bahawa beliau “tetap optimis.”

“Kami masih berusaha untuk mengekalkan hubungan dua hala yang baik, dan berharap kita boleh bekerjasama untuk mencari penyelesaian yang baik terhadap isu-isu ini,” kata beliau. – BERNAMA