Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib berkata, walaupun masyarakat kini lebih didedahkan dengan teknologi dan kecanggihan pembangunan pesat namun ciri-ciri ulung seni puisi yang penuh makna dan keindahan itu tidak akan hilang malah kekal serta menjadi tonggak dalam sanubari masyarakat hari ini.

Beliau berkata, dengan tema ‘Melestari Bumi, Menjulang Manusiawi’, UTeM berharap penganjuran malam puisi itu memberikan kesan yang mendalam terhadap kepentingan untuk memakmurkan dan mengekalkan alam, tanpa melakukan sebarang kebinasaan, kerosakan dan penderitaan terhadap kehidupan di atas muka bumi Allah ini.

“Saya berharap kita dapat menghayati semangat dan keindahan puisi yang disampaikan kerana setiap lontaran baris kata itu mengandungi seribu satu maksud yang perlu difahami secara mendalam. Itulah keunikan seni puisi yang penuh dengan maksud, penghayatan dan ketajaman akal.

“Penganjuran majlis puisi seperti ini juga amat signifikan dalam proses pembangunan jati diri mahasiswa dan mahasiswi universiti ini, supaya graduan yang bakal dilahirkan khususnya di UTeM mempunyai ciri-ciri keseimbangan antara teknikal dan kesusasteraan.

“Saya berharap agar kerjasama antara UTeM dan Kumpulan Utusan ini akan terus erat dalam pelbagai program yang dapat dianjurkan bersama pada masa akan datang," katanya ketika berucap pada Malam Puisi Utusan-UTeM 2015 yang diadakan di Dewan Besar universiti itu di sini malam ini.

Program itu dimeriahkan dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Khalil Yaakob yang merupakan Canselor UTeM.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi negeri, Datuk Md. Yunos Husin; Pro Canselor UTeM, Datuk Ismail Saleh; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Othman Muhamad: Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas; Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak; Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Othman Mohamad dan Sasterawan Negara, Datuk Zurinah Hassan.

Program yang turut mendapat kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Melaka, Persatuan Penulis Negeri Melaka (Penama) dan Hotel Seri Malaysia Melaka itu menampilkan para sasterawan, penyair, tokoh akademik, penulis dan artis popular.

Shahrin turut mendeklamasikan puisi bertajuk ‘Jampi Bangsaku' diikuti Zurinah menyampaikan puisi bertajuk ‘Rintihan Taming Sari' manakala Mohd. Noordin yang mewakili Kumpulan Utusan mendeklamasikan puisi bertajuk ‘Berita Kepada Kawan'.

Turut menyampaikan puisi malam ini dalam majlis yang dihadiri kira-kira 3,000 pengunjung ialah Othman yang menyampaikan puisi bertajuk ‘Kelopak Rasa', wakil Penama dan pelajar UTeM.

Selain deklamasi puisi, Malam Puisi Utusan-UTeM turut diserikan dengan persembahan lagu-lagu puisi daripada beberapa selebriti terkenal tanah air seperti kumpulan Kopratasa, Caliph Busker, Fynn Jamal dan Rozita Che Wan yang menyampaikan puisi bertajuk ‘Hentikan Persengketaan'.

Sementara itu, Mohd. Noordin dalam ucapannya berkata, objektif Malam Puisi Utusan-UTeM adalah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) akhbar itu selain usaha menghidupkan kembali budaya berpuisi sebagai warisan bangsa yang mempunyai nilai estetika yang tinggi.

“Malam Puisi kali ini turut memberi peluang apresiasi puisi kepada warga UTeM, penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) negeri Melaka dan komuniti setempat selain merapatkan hubungan UTeM dengan khalayak sastera khususnya sasterawan, seniman, penyair dan penggiat seni.

“Malam Puisi Utusan-UTeM juga merupakan satu lagi komitmen Kumpulan Utusan dalam melestarikan kesusasteraan Melayu dan ia juga merupakan sebahagian daripada pengisian Minggu Sastera Utusan dan kesinambungan kepada Hadiah Sastera Kumpulan Utusan yang berlangsung pada 20 Oktober lalu," katanya.

Menurut Mohd. Noordin, penganjuran kali ini merupakan tahun ke-13 Malam Puisi Utusan diadakan dan ini merupakan kali kedua Malam Puisi diadakan di Melaka selepas kali pertama pada tahun 2011.

Pada majlis itu, UTeM turut menyampaikan anugerah penghargaan kepada bekas Pengerusi Lembaga Pengarahnya, Tan Sri Dr. Ahmad Zaidee Laidin yang berkhidmat selama lima tahun mulai 1 Jun 2010 hingga 16 Julai lalu.