Persembahan yang membuka tirai pada pukul 9 malam sejurus kehadiran Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob itu, disambut dengan tepukan serta sorakan padu hampir 3,000 penonton yang memenuhi segenap ruang Dewan Besar UTeM.

Sebelum gelanggang puisi dibuka, penonton terlebih dahulu disajikan dengan persembahan tarian penuh bertenaga oleh murid-murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tangga Batu yang merupakan Johan Lantai Cilik 2014 sebelum diikuti nyanyian oleh Penasihat Undang-Undang UTeM, Azhar Mohamed yang menyampaikan lagu Ibnor Riza bertajuk Mimpi Yang Tak Sudah.

Sorakan gemuruh bergema apabila pendeklamasi pertama yang juga Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib mendeklamasikan puisi nukilan A. Aziz Deraman bertajuk Jampi Bangsaku.

Persembahan mantap diiringi muzik seruling itu ditujukan khas kepada bapa saudaranya iaitu seniman terkenal negara pada sekitar tahun 70-an, Allahyarham Jimi Asmara.

Antara bait puisi tersebut berbunyi: Hai bangsaku, aku tahu usulmu, jatuh di segala ceruk rantau alam ini, jatuh di utara jatuh di selatan, jatuh di timur jatuh di barat, janganlah pula duduk tunggu, jaga mengilas siku.

Pentas kemudian dihangatkan dengan penampilan istimewa Sasterawan Negara, Datuk Dr. Zurinah Hassan yang mendeklamasikan gurindam dan puisi bertajuk Rintihan Taming Sari.

Puisi yang diciptanya sendiri itu mengisarkan mengenai pertelingkahan antara Laksamana Hang Tuah dengan Pahlawan Majapahit, Taming Sari yang disifatkan menjadi alat serta hiburan bagi sultan di negeri masing-masing.

Bait puisi yang mempunyai nilai pengajaran mendalam dalam puisi itu antaranya berbunyi: Kita yang bernama pahlawan adalah haiwan pelagaan, peluh bersimbah terjelir lidah akan terus berlawan, kerana nyawa kita adalah barang permainan.

Pentas puisi itu diselang-selikan dengan nyanyian kumpulan Kopratasa, Fynn Jamal dan Rozita Che Wan.

Tidak ketinggalan mempamerkan bakat terpendam dalam seni puisi ialah Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas yang mendeklamasikan puisi bertajuk Berita Kepada Kawan daripada lirik penyanyi terkenal Indonesia, Ebiet G Ade.

Pendeklamasi seterusnya yang mengambil bahagian ialah Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Othman Muhamad dan isteri, Datin Halimah Baba masing-masing menyampaikan puisi bertajuk Kelopak Rasa nukilan Usman Awang dan Termanggu Dalam Arus Waktu.

Persembahan itu sememangnya sinonim dengan Othman dan isteri yang turut mengetuai Persatuan Penulis Melaka (Penama).

Majlis gilang gemilang itu turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi negeri, Datuk Md. Yunos Husin; Pro Canselor UTeM, Datuk Ismail Saleh; Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak dan Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Othman Mohamad.

Selain barisan kenamaan yang mendeklamasikan puisi pada malam itu, Malam Puisi Utusan-UTeM 2015 turut dihadiri Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi negeri, Datuk Md. Rawi Mahmud serta Timbalan Naib Canselor UTeM, Prof. Dr. Mohd. Jailani Mohd. Nor.

Antara pendeklamasi lain termasuk ahli Penama seperti Shahrul Mubarak Ahmad, Norliza Mohd. Yamin, Fairuzan Ab. Majid, Aflieza Arshad, Amir Aris serta beberapa pelajar UTeM dari pelbagai fakulti.

Caliph Buskers menutup tirai dengan mendendangkan tiga buah lagu termasuk Hanya NamaMu dan Roman Cinta.