Naib Canselornya, Prof. Emeritus Datuk Dr. Hassan Said berkata, langkah ini bagi memastikan tiada berlaku sebarang salah laku dalam kalangan warga universiti.

“Sekiranya didapati bahawa perkara ini berlaku di peringkat dalaman, pihak universiti tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang terhadap pihak yang bertanggungjawab.

“Tangkapan layar yang dipaparkan dalam sebuah laman portal hari ini telah menunjukkan format maklumat yang tidak digunapakai atau dijana dari mana-mana sistem dalaman UiTM. Ini menunjukkan bahawa maklumat tersebut telah diolah dan dimanipulasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi laman rasmi Facebook UiTM hari ini.

Beliau mengulas isu yang didedahkan portal lowyat.net mengenai sejumlah 1.165 juta rekod data mahasiswa yang berdaftar dengan UiTM dalam pelbagai kursus antara tahun 2000 dan 2018 didapati telah dibocorkan dalam talian.

Kebocoran data berkenaan melibatkan maklumat para mahasiswa di kampus utama di Shah Alam dan juga 13 kampus negeri seluruh negara.

Butiran peribadi yang dibocorkan termasuk kad identiti pelajar, nama pelajar, nombor Mykad (kad pengenalan), alamat rumah, alamat e-mel, kod kampus, nama kampus, kod program, peringkat pengajian dan juga nombor telefon bimbit. - UTUSAN ONLINE