Untuk tujuan itu, rujukan daripada rakan yang pernah mendaki gunung, maklumat daripada pemandu arah dan laman sosial atau internet boleh membantu menambah pengetahuan mengenainya.

Penggerak aktiviti mendaki merangkap pendaki Gunung Everest 2013, Zainudin Lot, 42, berkata, pengetahuan mengenai gunung yang mahu didaki juga boleh didapati daripada penulisan log terdahulu.

Menurutnya, terdapat banyak log mengenai pengalaman mendaki dipaparkan di internet.

“Ini menunjukkan maklumat sangat mudah diperoleh.

Jadi, tiada alasan kenapa pendaki tidak sempat meneliti maklumat berkaitan laluan mendaki yang mahu ditempuhi,” katanya kepada S2.

Beliau menegaskan setiap pendaki perlu ada maklumat asas tentang aktiviti pendakian yang akan dilakukan bagi mengelak kejadian tidak diingini disebabkan tiada ilmu.

“Penting untuk pendaki tahu mengenai aktiviti yang akan disertai.

Ada banyak log mendaki di internet. Maklumat sekarang boleh dipetik dari hujung jari sahaja,” katanya.

Selain itu, katanya, kemampuan untuk survival juga perlu ada pada diri setiap pendaki kerana sekiranya berlaku sesuatu perkara semasa aktiviti, mereka tahu apa yang akan dilakukan.

Berikutan itu, katanya, persediaan merupakan aspek paling penting dalam aktiviti mendaki terutama faktor ketahanan mental dan fizikal, selain alatan dan kelengkapan mendaki.

Mengulas kemalangan yang semakin kerap berlaku di gunung, katanya, pendaki perlu peka dan sentiasa mengemas kini maklumat berkaitan cuaca beberapa hari sebelum aktiviti dijalankan.

“Jika hujan berterusan, dinasihatkan tidak melakukan aktiviti. Pendaki juga perlu sentiasa mengawasi pergerakan semasa mendaki dan pilih laluan yang selamat serta kurang berisiko.

“Amalkan sistem buddy semasa mendaki supaya 
masing-masing boleh mengawasi antara satu sama lain,” ujarnya.