Penghargaan itu disampaikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki ketika melakukan kunjungan hormat ke atas Raja Salam di istana baginda di sini.

“Saya menyampaikan ucapan penghargaan dan terima kasih bagi pihak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kerajaan Malaysia dan seluruh jemaah haji Malaysia di atas kejayaan menguruskan jemaah haji dunia.

“Sesungguhnya amat luar biasa dalam menguruskan pergerakan `lautan manusia’ dalam tempoh lima hari sahaja untuk bergerak ke Arafah dan Mudzalifah dan kemudian berpatah balik ke Mina, akhirnya ke Mekah,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini semalam.

Beliau juga berkata, pemakluman secara rasmi berkaitan hasrat dan cadangan kerajaan Malaysia bagi pembinaan Kompleks Tabung Haji di Tanah Suci telah juga disampaikan kepada baginda.

“Saya turut menyampaikan hasrat untuk mengundang Putera Mahkota datang ke Malaysia untuk merasmikan `King Salman Centre For International Peace (KSCIP).

“Dalam pertemuan itu, secara berseloroh Putera Mahkota memberi jaminan akan mengotakan janjinya dan datang ke Malaysia bagi tujuan tersebut,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE