Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, pelbagai inisiatif telah dan sedang dilaksana kerajaan secara berterusan untuk memastikan produk dan bekalan makanan asas terutama beras kekal terpelihara dan berupaya menampung keperluan semasa.

Beliau berkata, walaupun beberapa  tumpuan turut diberi kepada sumber kekayaan baharu seperti durian dan sarang burung walit, yang mendapat permintaan tinggi di pasaran, namun fokus kementerian terhadap bekalan produk makanan asas sama sekali tidak pernah diabaikan.

“Sejumlah RM200 juta diperuntukkan tahun ini bagi menggalakan golongan muda menceburi pertanian dan cari cara menjana kekayaan baharu sektor agro makanan seperti jagung bijian, tanaman kelapa, durian, tenusu serta bidang kulinari.

“Namun itu tidak bermakna tumpuan kepada bekalan dan makanan utama diabaikan, buktinya hampir RM3 bilion diperuntukkan bagi memantapkan lagi pengeluaran makanan ruji iaitu beras termasuk menaik taraf infrastruktur pengairan, jalan ladang, bantuan baja, benih serta subsidi dan insentif untuk pesawah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Seminar Agriculture And Food Security 2050, di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini, hari ini.

Sebanyak tujuh kertas kerja dibentang meliputi pelbagai tajuk utama industri pertanian dalam seminar sehari itu. - UTUSAN ONLINE