Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zairulshahfuddin Zainal Abidin berkata, walaupun negara itu berada di bawah kelolaan Islamic Relief Syria (IRS) sejak 2012, rakyat Malaysia boleh menyumbang dana kepada IRM untuk disalurkan kepada IRS.

Menurutnya, akibat serangan terkini di wilayah Idlib, dua daripada hospital dibantu Islamic Relief rosak teruk.

"Tetapi usaha bantuan kita akan teruskan walaupun dalam keadaan kecemasan ini, kerana di Syria yang diperlukan sangat adalah makanan, air dan ubat-ubatan," katanya.

Zairulshahfuddin ditemui pemberita selepas melepaskan kira-kira 500 peserta larian amal anjuran IRM dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di sini hari ini bertujuan mengumpul dana bagi projek tanaman cendawan di Lombok, Indonesia.

Zairulshahfuddin berkata, Islamic Relief sudah beroperasi di negara jiran Syria seperti Lubnan, Jordan dan Iraq.

"Pada Januari 2012, kita membuat keputusan kritikal untuk masuk dan membantu di Syria. Kita kena ingat Syria dalam keadaan zon perang," katanya.

Di bawah projek tanaman cendawan itu, Kelompok Wanita Tani terdiri daripada 20 wanita dalam kalangan ibu tunggal dan golongan asnaf akan dibantu IRM Indonesia untuk meraih pendapatan. - BERNAMA