Pengerusi ERC, Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman berkata, pihaknya menerima banyak aduan bahawa sistem majoriti mudah mempunyai pelbagai kelemahan serta tidak lagi adil berbanding sistem-sistem lain yang dipraktikkan di negara-negara maju.

“Sistem first past the post ini adalah pemilihan secara langsung, satu undi menang pun boleh menang, nampaknya ba­nyak aduan mengenai first past the post sudah tidak adil.

“Ada sistem lain yang dia kata lebih adil, kita kaji semua sistem ini dan sebagai contoh proportional representation system (perwakilan berdasarkan nisbah),” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat pertama ERC di sini.

Jawatankuasa berkenaan bakal dibarisi 18 anggota dan antara anggota yang hadir dalam mesyuarat hari ini termasuk Ketua Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Wan Saiful Wan Jan; Ketua Pusat Pe­ngajian Asia Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (Ikmas) Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr. Faisal Hazis serta Ketua Sekretariat ERC, Amerul Muner Mohammad.

Jelas Ab. Rashid, antara cadangan lain yang turut dikaji pihak­nya termasuk bidang kuasa pendaftaran dan kawal selia parti-parti politik diletakkan di bawah badan yang menguruskan pilihan raya berbanding Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) dan undang-undang khusus berhubung pengendalian kerajaan sementara.

Selain itu, katanya, ERC juga akan menjalankan kajian me­ngenai cadangan pendaftaran pemilih secara automatik, cadangan had usia pemilih diturunkan daripada 21 tahun kepada 18 tahun serta peraturan khusus terhadap pemerhati tempatan dan antarabangsa.

“Kerajaan mahu satu undang-undang baharu yang sama dengan standard antarabangsa, standard yang digunakan oleh negara-negara demokrasi yang maju di dunia, Insya-Allah, selepas tempoh dua tahun kajian, negara akan menyaksikan undang-undang ba­haru serta wajah baharu untuk SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya),” katanya.

Ujar beliau, kajian terhadap sistem dan undang-undang pilihan raya yang dipertanggungjawabkan kepada ERC itu akan me­ngumpul input daripada pelbagai pihak termasuk pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkepentingan.

“Kajian ini meliputi badan yang akan menjalankan pilihan raya, kalau di negara ini SPR, kita akan kaji kedudukan badan itu sendiri dengan tujuan untuk memperkuatkannya menjadi sebuah badan yang kredibel selain bersih, adil dan telus,” katanya yang menjangkakan syor-syor penambahbaikan dapat dilaksa­nakan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Berdasarkan terma rujukan ERC, jawatankuasa itu bertanggungjawab mengkaji seluruh un­dang-undang pilihan raya dan undang-undang lain yang menyentuh urusan dan perjalanannya serta mengkaji keperluan mewujudkan sistem pilihan raya yang sesuai dengan kehendak sosial.

Jawatankuasa itu diberikan tempoh dua tahun bagi mengkaji semula sistem dan undang-undang pilihan raya di negara ini serta mengemukakan laporan dan perakuan-perakuan kepada kerajaan untuk diperhalusi dan dilaksanakan.