Bermula hari ini, cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dikembalikan semula bagi menggantikan GST yang dimansuhkan kerajaan Pakatan Harapan selepas sistem percukaian itu mula dilaksanakan sekitar tahun 2015.

Sekiranya GST sebelum ini ditetapkan pada kadar enam peratus, SST pula terbahagi kepada beberapa kadar iaitu barang dikecualikan cukai, dikenakan cukai lima dan 10 peratus manakala cukai perkhidmatan pada enam peratus.

Walau bagaimanapun, jumlah barangan yang dikenakan SST berkurang kepada hanya 6,405 berbanding 11,197 barangan yang tertakluk di bawah GST.

Bagi mendapatkan gambaran yang lebih realistik berhubung perubahan sistem percukaian ini, sama ada berlaku kenaikan, penurunan atau pun masih kekal pada harga sama, Mingguan Malaysia telah menjalankan tinjauan di setiap negeri.

Berdasarkan hasil tinjauan hari pertama ini, boleh dilihat keba­nyakan harga barangan masih kekal dan tidak berubah.

Bagaimanapun harga bara­ngan yang mencatatkan peningkatan ketara di beberapa lokasi tinjauan antaranya ialah lampin pakai buang, susu bayi, air mi­neral dan teh uncang.

Selain itu, turut direkodkan juga penurunan barangan hasil pelaksanaan GST ini meliputi marjerin, mi segera selain sos tiram.

Mungkin salah satu faktor tiada kenaikan dan penurunan ketara kepada harga jualan ialah kerana stok yang dijual ketika ini bukanlah baharu, tetapi stok sedia ada.

Dalam pada itu, nada berbeza pula di laman sosial apabila ba­nyak netizen yang tidak ber­puas hati dan memuat naik resit pembayaran dengan kenaikan kos berikutan pelaksanaan SST.

Tinjauan di media sosial mendapati, rata-rata netizen menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap kenaikan harga makanan dan minuman di restoran serta kedai makanan.

Selain itu, yang menjadi isu di media sosial juga ialah nilai tambah prabayar telefon bimbit yang dipotong berikutan SST.