Setiausaha Agung MPM, Datuk Dr. Hasan Mad (gambar) berkata, ini kerana pengalaman daripada kemelut pelantikan Peguam Negara sebelum ini perlu dijadikan iktibar untuk memperkemaskan lagi pentadbiran institusi diraja.

“Badan penasihat ini menyamai Privy Council yang dianggotai oleh negarawan dihormati masyarakat.

“Mereka ini daripada pelbagai latar belakang berperanan menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam apa jua urusan pentadbiran negara termasuk menegur dan memberikan pandangan bagi menjadikan institusi diraja ini le­bih berkredibiliti,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, badan seranta pula berperanan mengendalikan segala urusan perhubungan awam berkaitan institusi diraja.

“Ia agar rakyat lebih memahami mengenai peranan dan segala tindak-tanduk yang melibatkan institusi ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, MPM juga memandang serius sikap anggota masyarakat awam yang terlalu ingin mengenakan desakan kuat terhadap proses pengurusan negara, pelantikan pegawai utama negara serta perubahan pentadbiran secara tergesa-gesa melalui media sosial.

“Tindakan ini se­ring melahirkan kekeliruan dan salah tanggap yang bersifat kurang adab dan berlebih-lebihan terutama Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Negara dan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku ketua pentadbir negara serta para pegawainya.

“Justeru amatlah wajar sikap kurang adab itu dipertimbangkan semula dengan kesabaran kerana sebarang amalan kenegaraan amat perlu keprihatinan serta hemah tertinggi dan mengikut lunas-lunas peruntukan serta prosedur perundangan dan adab pemerintahan raja berperlembagaan,” katanya.