Pengetua SJI, K. Manmohan Singh berkata, majlis itu dilaksanakan sebagai penyuntik semangat buat semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan menduduki peperiksaan itu pada 6 November ini.

“Ini merupakan kali ketujuh SJI mengadakan majlis graduasi untuk pelajar tingkatan lima sejak 2011. Tujuan utama kami mengadakan majlis ini adalah untuk memberikan penghargaan kepada pelajar sebelum menduduki peperiksaan.

“Ini juga merupakan inisiatif bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk menyuntik semangat kepada pelajar kerana kita mahu mereka memperoleh keputusan yang cemerlang,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan semua pelajar agar bersiap sedia untuk menempuhi alam baru selepas tamatnya zaman persekolahan dan sentiasa menjaga nama baik institusi itu.

“Lima tahun anda semua berada di sini untuk menjadi seorang yang berguna kepada negara. Selepas ini anda bakal menempuhi alam baru iaitu kehidupan di kampus yang memerlukan anda untuk lebih berdikari.

“Justeru, buktikan produk daripada SJI adalah yang terbaik kerana senior sebelum ini sudah membuktikannya dengan menjadi individu hebat dalam semua sektor di Malaysia,” ujarnya.

Majlis disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Pejabat Pendidikan Wilayah Keramat, Asiah Husin.

Menurut Asiah, keupayaan sesebuah sekolah untuk menghasilkan pelajar berkualiti hanya akan terhasil sekiranya wujud hubungan positif di antara ibu bapa dengan pihak sekolah.

“Terdapat 22 buah sekolah berada di bawah pemantauan Pejabat Pendidikan Wilayah Keramat. Nama SJI dianggap berjaya kerana sudah mampu untuk membina jenama sendiri.

“Kalau pengetua seorang sahaja yang bagus, guru–guru tidak memberi kerjasama dan ibu bapa pula tiada sokongan, maka kecemerlangan tidak akan mungkin berlaku. Saya harapkan keputusan SPM tahun ini akan lebih baik berbanding sebelum ini,” ujarnya.