Ini berikutan, syarikat tersebut bukan sahaja tidak membayar gaji sejak Januari lalu malah dipercayai ‘melarikan diri’ bersama wang tersebut yang telah dilunaskan Pe­jabat Pendidikan Daerah (PPD).

Koordinator Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit), M. Sivaranjani berkata, syarikat yang beroperasi selama lapan tahun itu juga dipercayai sudah berpindah ke lokasi lain ekoran premis yang didaftarkan dalam Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 2008 telah ditutup.

“Kami menghubungi individu yang membayar gaji pekerja untuk tindakan lanjut, tetapi dimaklumkan bahawa dia hanya penyelia syarikat dan tidak mengetahui di mana majikannya berada.

“Oleh itu, kita bergerak ke beberapa sekolah yang didaftarkan di bawah tender miliknya dan mendapati kese­mua pekerja terlibat tidak dibayar gaji selama dua bulan,” katanya yang turut terkejut apabila penyelia tersebut mengakui tidak menerima gaji untuk tempoh yang sama.

Sehubungan itu, ujarnya, tuntutan telah difailkan ke atas syarikat terbabit pada 23 Februari lalu selain menghantar surat rasmi bertarikh 9 Mac kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) bagi menge­tahui status kontraktor berkenaan.

“Antara perkara yang diketengahkan dalam surat tersebut adalah adakah wang cagaran yang sepatutnya diberikan kepada kontraktor tersebut sudah diberikan atau tidak,” katanya.

Mengulas lanjut, jelasnya, tindakan lanjutan akan diambil sekiranya tidak mendapat maklum balas daripada pihak berwajib dalam tempoh dua minggu.

Tunggakan gaji selama dua bulan itu sekaligus menyebabkan salah seorang pekerja, V. Sorojadevi, 54, terpaksa berhutang dengan saudara mara dan rakan-rakannya untuk membiayai kos pendaftaran pengajian anaknya di sebuah kolej baru-baru ini di samping seorang lagi yang masih belajar di sekolah menengah.

“Sepanjang tempoh dua tahun bekerja, ini kali pertama saya tidak mendapat gaji selama dua bulan. Ia sangat membebankan tambahan pula, anak-anak sedang belajar,” ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi pekerja pembersihan, Jaafar Mansor, 67, memberitahu, pihaknya sudah berbincang dengan PPD Zon Pudu beberapa kali namun jawapan yang diberi begitu menghampakan.

“Dalam perbincangan pertama, pegawai berkenaan menyatakan bahawa cek bayaran telah dise­rahkan kepada syarikat kontraktor berkenaan dan meminta kami menunggu, tetapi sudah masuk dua bulan kami masih belum menerima­nya walaupun pada 28 Februari lalu pertemuan dilakukan sekali lagi,” jelasnya yang pernah menghubungi penyelia syarikat tersebut untuk meminta penjelasan lanjut.