Tegas Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran, ini kerana akta PTPTN sekarang tidak membenarkan potongan terus itu dibuat oleh majikan tanpa kebenaran peminjam.

Tambah beliau, arahan potongan terus oleh majikan ke atas peminjam itu boleh dibuat sekiranya akta PTPTN dipinda pada masa depan.

"Bagaimanapun saya tidak boleh menjawab berke­naan pindaan akta (kebenaran kepada majikan untuk potong secara terus) kerana itu bukan di bawah bidang kuasa saya. Tetapi kalau ada (pindaan) itu, kita kena ikutlah," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Employment Law Forum 2018 di Bayan Baru di sini, hari ini.

Semalam, Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan berkata, pihaknya akan me­laksana kaedah bayaran balik pinjaman secara potongan gaji berjadual (PGB) bermula Janua­ri 2019 yang mampu memberi faedah lebih besar kepada pe­minjam berpendapatan rendah.

Di KUALA LUMPUR, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan membawa isu tersebut untuk dibincangkan di peringkat Mesyuarat Jemaah Menteri, esok.

Jelas Ahli Parlimen Muar itu lagi, walaupun prinsipnya setiap hutang adalah perlu dibayar, namun bayaran semula itu perlu adil dan tidak membebankan peminjamnya.

“Saya ambil maklum pandangan dan rintihan yang disampaikan oleh anak muda berkenaan kadar pembayaran semula PTPTN. Pada esok hari, semasa Mesyuarat Jemaah Menteri, saya akan bawa suara anda supaya perkara ini dapat dipertimbangkan semula.

“Saya percaya walaupun kita perlu membayar semula hutang, bayar tetap bayar, tetapi bayaran itu perlu adil untuk membantu anak muda dan tidak terlalu membebankan mereka khususnya yang selama ini telah membayar, selepas berunding dengan PTPTN, patuh kepada syarat dan bayar menepati masa,” katanya menerusi rakaman video yang disiarkan dalam akaun Twitter miliknya hari ini.