Menteri Besar, Aminuddin Harun berkata, pihaknya berharap usaha itu akan memudahkan pengundi yang berdaftar di Port Dickson tetapi tinggal atau bekerja di luar kawasan untuk balik mengundi.

“Saya telah berhubung dengan Pengerusi Persatuan Perhotelan Port Dickson dan beliau pada amnya bersetuju dengan perkara itu. Saya akan hubungi semua persatuan hotel lain termasuk di Seremban bagi memohon perkara sama.

“Kita juga akan berhubung dengan jawatankuasa perindustrian terutamanya sektor pembuatan supaya pengundi diberi kelonggaran keluar mengundi dan dalam masa yang sama mengatur masa mereka agar tidak menjejaskan operasi syarikat,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Sementara itu, dalam sidang akhbar sama, Pengarah Komunikasi PKR, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, pihaknya mengalu-alukan sebarang usaha daripada orang awam mahupun swasta untuk menggalakkan warga Port Dickson mengundi.

“Terdapat beberapa inisiatif yang diusahakan oleh syarikat seperti Grab dan saya difahamkan mereka ada kod promosi untuk penduduk keluar mengundi pada hari berkenaan,” katanya. - UTUSAN ONLINE