Ismail Abd. Muttalib

Timbalan Menteri Sum­ber Manusia, Datuk Seri Ismail Abd. Muttalib berkata, cuti yang mencukupi penting bagi membolehkan seseorang pekerja itu menguruskan perjalanan pulang ke kampung serta menghabiskan masa bersama keluarga.

“Mustahil bagi pekerja yang bekerja jauh seperti di Sabah, Sarawak, Perlis, Pulau Pinang, Kelantan dan lain-lain untuk pulang ke kampung halaman jika diberikan masa dan cuti yang terlalu singkat.

“Majikan tidak rugi jika membenarkan pekerja mereka bercuti panjang, lainlah jika pekerja terbabit pekerja mahir dan penting dalam operasi syarikat,” katanya di sini hari ini.

Ismail berkata, terdapat kira-kira 14 juta pekerja di sektor awam dan swasta di negara ini termasuk 2.1 juta pekerja asing berdaftar yang mana sebahagian besar daripada mereka bekerja di sektor perladangan serta perumahan.

Menurut beliau, sememangnya pe­kerja di negara ini memerlukan cuti rehat yang secukupnya terutama pada musim perayaan dan hari-hari tertentu.

“Bagi pekerja yang tidak pulang dan bekerja pada hari cuti umum dan perayaan, mereka berhak mendapat bayaran gaji berganda serta bayaran elaun lebih masa.

“Majikan yang gagal berbuat demikian boleh didakwa di bawah Seksyen 100 (2) Akta Kerja 1955 (Akta 265) dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda sebanyak RM10,000,” katanya.

Katanya lagi, para pekerja juga boleh membuat tuntutan di Mahkamah Buruh untuk mendapatkan gaji dan elaun bekerja pada hari cuti umum dan perayaan di bawah Seksyen 69 akta yang sama.